ajbc-3

Oleh Muhammad Aiman

Setelah tampil cemerlang memenangi Cabaran Juara-Juara Junior (JCC) pada Oktober lalu, Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) semakin berani meletakkan sasaran lebih besar.

Pemilik AJBC, Ho Khek Mong berkata melalui program pembangunan bakat komprehensif, kelab itu meletakkan sasaran pemainnya dapat memecah masuk ke kelompok 30 pemain terbaik dunia selain mengenggam kejuaraan besar seperti Siri Super dalam tempoh beberapa tahun akan datang.  

“Malaysia mempunyai ramai pemain bagus yang cukup menyerlah di peringkat remaja, tetapi pembangunan mereka terhenti apabila tiba satu tahap sehinggakan kita masih tercari-cari siapakah pengganti Lee Chong Wei.

“Di AJBC, mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru adalah tanggungjawab kami. Kami komited mahu menyumbang kepada pembangunan badminton di Malaysia, melahirkan lebih ramai pemain setanding Chong Wei.

“Menerusi program pembangunan remaja yang kita mulakan pada Mei 2015, saya percaya kita telah berjaya mewujudkan satu persaingan sihat di kalangan pemain dan membekalkan lebih peluang kepada pemain berbakat untuk membangun.

“Sasaran kita, mahu melihat pemain dari kelab ini berada di ranking 30 terbaik dunia dan satu hari nanti dapat memenangi kejuaraan Siri Super, selain menghadiahkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Untuk semua itu menjadi kenyataan kita perlu bermula, dan ini adalah permulaannya,” kata Khek Mong.

Dia yang juga pengurus pasukan AJBC bercakap kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Pembangunan Remaja AJBC di Ampang.    

ajbc-2

“Setakat ini, kita telah dapat melihat hasil positif dari program ini dan dengan sokongan kewangan berjumlah lebih RM600,000, kita akan terus menyokong program ini untuk tiga tahun akan datang. Buat masa ini sebanyak 12 pemain remaja berusia 10-20 tahun akan mendapat manfaat dari program ini, termasuk empat pemain dari luar.”

Antara pemain-pemain AJBC adalah Tan Jia Wei, Wang Zhi Yi, Tan Kok Xian, Tang Xin, Ching Kai Feng, Desiree Siow dan Anna Cheong – Anna juga merupakan pemain terbaik AJBC ketika ini, berada di ranking ke-81 dunia.

- Advertisement -