Meor Muhammad Azuan

Oleh Muhammad Aiman

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak akan menyekat pemain-pemainnya yang tidak lagi mempunyai keinginan untuk terus menyarung jersi pasukan itu dan mahu bermain untuk pasukan lain.

Begitupun, pengurus UniKL Asmadi Mohd Nor menegaskan ada peraturan yang perlu dipatuhi justeru meminta pasukan yang berminat dengan pemainnya agar mendapatkan mereka dengan saluran betul serta membayar pampasan sekiranya mereka masih di bawah kontrak.

Kenyataan itu hadir sebagai merujuk kepada tindakan mengejut dua pemain tonggak UniKL, Muhammad Haziq Samsul dan Meor Muhammad Azuan Hassan yang menghantar surat penamatan kontrak kepada pengurusan bagi mewakili pasukan lain.

Asmadi menjelaskan dua pemain itu yang turut merupakan anggota pasukan kebangsaan memberi alasan mahu mencari angin baru dalam karier sebagai sebab meminta pelepasan namun sebarang keputusan belum dapat dibuat kerana kedua-duanya mempunyai kontrak sehingga tahun depan.

“Kami ada menerima surat yang menyatakan mereka mahu menamatkan kontrak secara mengejut dengan notis 24 jam tetapi mereka harus faham ada beberapa klausa yang perlu dipatuhi dalam kontrak tersebut. Walaupun mereka mengesahkan sudah meninggalkan pasukan, tetapi mereka masih ada kontrak sehingga 2017,” kata Asmadi dalam satu kenyataan rasmi dari UniKL.

Untuk rekod, Haziq dan Meor merupakan antara tonggak utama UniKL dalam saingan Liga Hoki Malaysia sejak membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada 2012, dan kedua-dua mereka baru sahaja pulang dari tugasan antarabangsa bersama The Speedy Tigers di Kakamigahara, Jepun baru-baru ini. 

- Advertisement -