Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini secara rasminya memperkenalkan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebagai rakan automotif rasmi KHM, dan telah tampil menaja tiga unit kenderaan model Peugeot 5008.

Majlis simbolik penajaan tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Ben Yeoh, Pengerusi
Eksekutif Bermaz Auto Berhad dan Dato’ Wong Kin Foo, Pengarah Urusan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd bersama Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal di Bilik Pameran Jualan Peugeot Glenmarie Shah Alam.

Peugeot 5008 menawarkan ruang kabin lebih luas dengan kapasiti 7 kerusi yang selesa dan serba praktikal dan didefinasikan sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan.

Secara ringkas, model ini dikuasakan enjin petrol 1.6L Twin-Scroll Turbo Tekanan Tinggi (THP) dengan suntikan bahan api berkuasa 164hp (6,000rpm) dan tork 240Nm (1,400rpm), serta transmisi automatik 6- kelajuan dengan teknologi Quickshift dan pedal syif.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal jelas berbesar hati dengan penajaan yang telah diterima oleh KHM daripada Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd dan berharap ini sebagai langkah pembukaan untuk lebih banyak syarikat korporat tampil ke hadapan untuk membantu dan menyokong sukan hoki di Malaysia.

“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih dengan penajaan yang telah diberikan iaitu tiga unit kereta model Peugeot 5008 dan penajaan ini menunjukkan syarikat korporat seperti Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sanggup menjadi rakan automotif dan komited untuk membantu sukan hoki di Malaysia.

“Saya berharap dan sangat-sangat mengalukan lebih banyak syarikat korporat yang lain menjadikan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebagai contoh untuk tampil selaku penaja dalam membantu KHM dan sukan hoki di Malaysia tidak kira dalam apa juga bentuk bantuan.

“Saya percaya untuk jangka masa panjang bantuan dan penajaan seperti ini akan membantu dan menaikkan lagi sukan hoki di Malaysia khusunya,” ujar Dato’ Sri Subahan Kamal.

Wakil Pengurusan Tertinggi KHM yang turut hadir dalam majlis hari ini ialah Timbalan Presiden KHM, En. Jadadish Chandra, Naib Presiden KHM, Dato’ Najmi Razak, Bendahari KHM, En. S. Selvendran dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim.

Sementara wakil Pengurusan Tertinggi Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Dato’ Francis Lee, Pengerusi / Pengarah Eksekutif Prima Merdu Sdn Bhd, Dato’ Amer Hamzah Ahmad dan Ketua Produk dan Strategi Stellantis Malaysia, En. Hugues Fabre.

- Advertisement -