Kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad mahu rakan sepasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan di tempat lawan dalam aksi final pertama Challenge Cup 2019 menentang JDT II, pada Jumaat.

Jelasnya, saingan final pertama itu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang cukup penting untuk mereka memastikan UKM FC membawa pulang bekalan selesa bagi aksi timbal balik di laman sendiri pada 12 Oktober ini.

Jika dilihat perlawanan akhir musim lalu menentang Terengganu FC II, mereka terikat seri 2-2 sebelum akhirnya gagal untuk meledak sebarang gol pada final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekali gus memberi kemenangan kepad skuad Pantai Timur itu.

Justeru, pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan jumlah gol di tempat lawan cukup penting untuk menghadirkan tekanan lebih awal kepada lawan sepertimana musim lalu sewaktu mereka menundukkan lawan sama di aksi separuh akhir.

“Kami harus fokus kepada kelebihan kami sendiri dan menggunakannya dengan baik untuk menguasai perlawanan malam esok.

“Pastinya, gol di tempat lawan amat penting dan kami perlu gunakan apa sahaja peluang yang ada untuk jaringkan seberapa banyak gol.

“Ini kali kedua UKM FC mara ke final dan mahu atau tidak, kami semua kena memberikan lebih daripada 100 peratus usaha untuk mengatasi JDT II yang rata-ratanya mempunyai ramai pemain yang lebih berkualiti,” jelasnya.

Pemain pertahanan JDT II, Muhammad Adib Zainudin pula enggan ambil mudah keghairahan skuad kendalian Sulaiman Hussin selaku finalis musim lalu untuk merebut kejuaraan Challange Cup kali ini.

Justeru, mereka tidak boleh melakukan sedikit kesilapan yang boleh membuka ruang kepada lawan kerana mereka juga turut sama inginkan laluan mudah bagi aksi final kedua di laman lawan nanti.

“Persiapan kani sekarang berjalan lancar dan semangat juang yang tinggi sentiasa ada untuk kami merebut kejuaran Challenge Cup musim ini.

“Perlawanan esok dilihat terbuka untuk kedua-dua pasukan ungguli final pertama ini dan sama ada kami atau lawan, masing-masing mempunyai kelebihan sendiri.

“Saya secara peribadi melihat skuad UKM FC juga mampu melakar kejutan dan tugas kami satu pasukan perlu memastikan usaha keras untuk menguasai perlawanan pada malam esok”, katanya.

- Advertisement -