Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bahawa badan induk itu masih berhutang hampir RM2 juta dengan mereka merangkumi bayaran wang kemenangan pasukan itu menduduki tempat keempat Liga Super, geran tahunan dan hak penyiaran.

Isnin lalu, Annuar berkata seandainya FAM segera melunaskan hutang tersebut, ia akan membantu mereka mengumpul dana menjelaskan tunggakan gaji pemain.

Begitupun, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata semakan mendapati ianya KAFA yang berhutang RM430,000 dengan FAM justeru menempelak Annuar kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

“FAM telah pun mengkreditkan hadiah wang kemenangan bagi semua pasukan Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2016 pada 30 Disember 2016, yang berjumlah keseluruhan RM20.025 juta.

“Istilah geran tahunan kepada setiap pasukan juga sudah tidak diguna pakai bermula musim 2016 apabila Liga Malaysia diswastakan. Setiap pasukan telah diberi hak sebagai rakan kongsi liga dan mendapat 40 peratus daripada pendapatan hak-hak penyiaran dan komersial yang diagihkan sama rata.

“Bagi musim 2016, sekitar RM41 juta telah diterima daripada hak-hak siaran serta komersial dan 40 peratus daripadanya perlu diberikan kepada setiap pasukan iaitu sekitar RM16.4 juta. Namun setiap pasukan telah diberikan sejumlah RM18 juta iaitu RM1 juta bagi setiap pasukan Liga Super (12 pasukan) dan RM500,000 bagi setiap pasukan Liga Premier (12 pasukan) serta tambahan RM20.025 juta untuk hadiah kemenangan.

“Memandangkan jumlah peruntukan agihan hak-hak penyiaran dan komersial untuk setiap pasukan hanyalah sebanyak RM16.4 juta sedangkan jumlah sebenar yang telah diberikan kepada mereka adalah sebanyak RM20.025 juta, maka FAM telah mendahulukan pembayaran sebanyak RM3.625 juta kepada pasukan-pasukan bagi pihak Football Malaysia LLP (FMLLP),” katanya.

Hamidin turut menjelaskan pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit mengikut kedudukan dalam liga seperti diamalkan sebelum ini (sehingga musim 2014) tidak dapat diteruskan memandangkan jumlah perolehan daripada hak-hak siaran serta komersial hanya mencecah RM41 juta, bukannya RM70 juta seperti disasarkan.

Menurutnya lagi, amalan pemberian wang perolehan daripada siaran langsung perlawanan Liga Super dan Liga Premier di televisyen kepada pasukan tuan rumah dan pasukan pelawat sudah pun dihentikan bermula musim 2015 selepas berakhirnya penajaan daripada Astro, seperti yang sedia diketahui semua pasukan bertanding.

“Sehubungan itu, Persatuan telah membuat semakan mengenai perkara ini dan untuk pengetahuan semua, KAFA sebenarnya yang berhutang dengan FAM dan FMLLP iaitu dengan jumlah kira-kira RM430,000.

“Jumlah hutang KAFA kepada FAM dan FMLLP itu merangkumi gaji tertunggak pemain import Kelantan yang telah diselesaikan Persatuan ini pada tahun 2016 selepas permohonan dibuat sendiri oleh KAFA untuk meminta bantuan FAM mendahulukan wang berkenaan, denda-denda kes tatatertib serta hutang levi tiket yang masih belum dijelaskan KAFA kepada FMLLP,” katanya.

Justeru, Hamidin menyatakan KAFA hanya akan mendapat kira-kira RM70,000 daripada RM500,000 bayaran pendahuluan pertama agihan hak-hak penyiaran dan komersial yang sepatutnya diterima setelah ditolak hutang dengan FAM dan FMLLP sebanyak RM430,000.

- Advertisement -