foto – PAHANG FA

 

 

 

Penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme masih tidak melupakan bagaimana dua jaringannya berjaya membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, empat tahun lalu.

Kemenangan yang disaksikan oleh 90,000 penonton itu juga melengkapkan musim cemerlang buat skuad Tok Gajah dengan meraih kejuaraan berganda selepas turut menjulang Piala FA. Sebelum itu Pahang turut menjulang Piala Sumbangsih.

Musim ini, Dickson kembali semula ke bumi Kuantan dengan hasrat untuk mengulangi pencapaian cemerlang pada musim 2014 bersama-sama rakan sepasukan yang baru, dan keyakinannya cukup tinggi tiga piala utama yang dipertandingkan – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – akan menjadi milik mereka.

“Detik paling manis yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila ialah membantu Pahang menewaskan JDT untuk menjulang Piala Malaysia pada 2014. Saya ke sini untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Tok Gajah kerana ini ‘kampung’ saya dan saya perlu buktikan kepada semua penyokong,” katanya.

Ketika musim 2014 – 2015, penyerang kelahiran Nigeria ini digandingkan dengan Matias Conti di barisan hadapan. Berbeza pula pada kali ini, pemain dari Brazil, Ze Love atau nama sebenarnya Jose Eduardo menjadi taruhan Dollah Salleh.

Dia juga mempunyai rakan sepasukan yang boleh dikatakan lebih mantap menerusi kelibat pemain seperti Nor Azam Azih, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh, Herold Goullon dan Saddil Ramdani.

Justeru, Dickson berjanji akan membalas kepercayaan pengurusan dan penyokong sebaik mungkin dalam masa sama memastikan berada pada tahap kecergasan terbaik sepanjang musim.

“Saya juga perlu elak daripada kecederaan serius agar tragedi sama tidak berulang apabila terpaksa berehat panjang musim lalu,” tambahnya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -