welson

Oleh Muhammad Aiman

Gara-gara selsema, perenang kebangsaan Welson Sim terpaksa melupakan hajat besarnya untuk turun beraksi dalam acara 1,500m gaya bebas di Jelajah Mare Nostrum di Canet-en-Roussillon, Perancis.

Ia ternyata satu tamparan hebat buat Welson yang sebelum ini mengintai peluang memperbaharui rekod kebangsaan berusia 25 tahun milik Jeffrey Ong seterusnya melepasi had kelayakan kategori A Sukan Olimpik Rio De Janeiro bagi acara 1,500m gaya bebas namun berkesudahan dengan digugurkan dari acara tersebut pada saat akhir.

Jurulatih, Paul Birmingham berkata Welson sudahpun bergelut dengan kondisi badannya sejak beberapa hari lalu malah tidak berada pada prestasi terbaik ketika mengambil bahagian dalam acara 400m gaya bebas pada Rabu, yang mana dia sekadar melakukan 3:58.15s untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 dan gagal layak ke final.

Enggan menjadikan keadaan lebih teruk, Birmingham mengambil keputusan untuk mengugurkan perenang dari Sarawak itu dari mengambil bahagian dalam acara 200m dan 1,500m gaya bebas pada Khamis.

“Dia terjejas kerana selsema dan sudah berasa tidak selesa sejak hari terakhir di Monaco, Ahad lalu. Kita dapat lihat dia bergelut ketika beraksi dalam 400m, jadi saya tidak mahu menekannya  kerana sukar baginya memberi kuakkan terbaik dalam situasi begini,” kata Birmingham.

Untuk rekod, Welson sudahpun layak secara merit menerusi kategori A ke Rio bagi acara 200m dan 400m gaya bebas dan dia sekali lagi menyerlahkan potensinya di persinggahan pertama Mare Nostrum di Monaco pada minggu lalu dengan memenangi pingat perak acara 400m dan gangsa acara 200m gaya bebas.

Adalah diragui sama ada perenang berusia 19 tahun itu sempat pulih sepenuhnya untuk beraksi di pusingan terakhir Mare Nostrum di Barcelona, hujung minggu ini dan ia jelas mengecewakan Birmingham yang menjadikan kejohanan ini sebagai satu daripada platform memperbaiki prestasi Welson.

Birmingham turut memaklumkan bahawa seorang lagi perenang, Khoo Cai Lin turut mengalami demam dan tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan 400m dan 800m gaya bebas wanita.

Sementara itu, Phee Jinq En pula menebus hampa gagal layak ke final A 100m kuak dada wanita apabila tampil dengan kuakkan bertenaga untuk memenangi aksi final B acara tersebut dengan catatan 1:08.69s, hanya 0.4s dipisahkan dari rekod kebangsaan miliknya.

Rakan senegara, Erika Kong pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dengan catatan 1:13.11s manakala Wong Fu Kang pula mengakhiri cabaran 100m kuak dada lelaki di tempat ke-25.

- Advertisement -