Empat negeri berbeza memungut 4 pingat emas yang ditawarkan pada hari pertama acara memanah Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) yang berlangsung di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Pemanah compound lelaki Selangor, Muhammad Aliff Aiman Mohd Hassri memulakan bidikannya dengan sebutir emas apabila menguasai acara 50 meter compound individu lelaki dari kalangan 46 peserta yang mengambil bahagian, pada sebelah pagi.

Muhammad Aliff, 20, konsisten dalam panahannya untuk mengumpul 348 mata pada set pertama sebelum menambah 349 mata lagi pada set kedua, untuk mengumpul keseluruhan 697 mata.

Pemanah Terengganu, Mohamad Syafiq Md Ariffin (694) yang mengumpul 344 pada set 1 dan 350 pada set 2, terpaksa akur dengan pingat perak.

Seorang lagi pemanah Selangor, Nik Ahmad Danial Mohd Kamarolzaman (690) memastikan pingat gangsa buat kontinjen negeri itu dengan mengumpul 341 dan 349 mata.

Dalam acara 50 meter compound wanita pula, Nuraqilah Khairul menghadiahkan emas buat Johor apabila mengungguli saingan yang disertai 46 pemanah itu, dengan mengumpul 692 mata.

Dia mengumpul 347 pada set 1 dan 345 pada set kedua untuk mengatasi cabaran pemanah Pulau Pinang, Kayalvhily (684) dan Maizatul Amira Natasha Mahadi dari Pahang (678).

Dalam acara 70 meter recurve individu lelaki pula, pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan memastikan emas apabila menang selepas pertarungan sengit dengan peserta Selangor, Hariez Izkandar Zainal Habsahli dalam saingan yang disertai 55 pemanah.

Muhammad Saiful lebih konsisten mengumpul keseluruhan 657 mata, mengatasi Hariez Izkandar (652) manakala pingat gangsa dimenangi pemanah Pahang, Muhammad Haikal Danish Syamsul Affandi (648).

Sarawak turut menempatkan diri dalam senarai pungutan emas apabila pemanah wanitanya yang beraksi dalam acara 70 meter recurve, Joey Tan Xing Lei unggul dengan mengumpul 632 mata.

Beliau mengetepikan cabaran pemanah Pulau Pinang, M Khiritigaa (626) dan pemenang pingat gangsa dari Wilayah Persekutuan, Alia Qursyiah Mazlan (619).

 

- Advertisement -