Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) mencadangkan pemotongan gaji melibatkan pemain dan pegawai sepanjang tempoh pandemik Covid 19.

Malah FAT juga mencadangkan untuk menyambung semula liga domestik negara itu pada September dan dijangka tamat pada Mei 2021.

Presiden FAT, Somyot Poompanmoung menjelaskan cadangan pemotongan gaji melibatkan pemain dikenakan melibatkan kelab yang berada di dua liga teratas.

Liga domestik Thailand telah pun ditunda sejak bulan lalu berikutan perintah kawalan yang dikenakan susulan wabak Covid 19.

Kira kira 80 peratus daripada aliran kewangan liga Thailand datangnya daripada hak penyiaran dan tajaan nyata memberi kesan ditambah dengan keadaan semasa wabak yang belum menampakkan sebarang tanda tanda beransur pulih.

Justeru, Somyot memberi cadangan agar pengurusan kelab mengadakan perbincangan dengan pemain untuk memastikan kelab tidak berdepan krisis kewangan sepanjang tempoh yang sukar ketika ini.

Cadangan yang diutarakan oleh Somyot selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh badan induk bolasepak antarabangsa, FIFA awal bulan ini.

Di Eropah, beberapa kelab gergasi seperti Barcelona, Real Madrid dan Juventus telah bersetuju untuj melakukan sistem pemotongan gaji diantara 20 hingga 70 peratus sementara kelab Liga Perdana Inggeris masih lagi di dalam proses rundingan.

Manakala di Malaysia, Johor Darul Takzim melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 33 peratus.

Somyot turut menambah, perbincangan telah diadakan dengan pegawai bolasepak dan Kementerian Pelancongan dan Sukan berhubung cadangan untuk menyambung liga domestik yang ditunda pada 4 Mac lalu.

Cadangan yang dikemukakan adalah menyambung dua liga utama Thailand pada September dan tamat pada Mei 2021 berbanding jadual asal yang bermula pada Februari dan tamat pada Oktober.

Jadual baru ini juga mengelak daripada musim tengkujuh yang dijangka berlaku sekitar Julai hingga September.

Perkembangan semasa melibatkan liga tier tiga dan empat akan dibincangkan ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan.

 

 

- Advertisement -