Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam menyelamatkan skuad negara dari diaibkan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, pada Selasa.

Hafizul bertindak cemerlang menyelamatkan tendangan penalti Alessandro Leonardo pada minit kelima masa kecederaan, sekaligus memastikan Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong yang diperkuatkan tujuh pemain naturalisasi.

Perlawanan yang berlangsung tegang di 10 minit terakhir itu juga menyaksikan pasukan negara menamatkan aksi dengan sembilan pemain setelah dua pemain – Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abdul Razak – diperintah keluar padang.

Rizal dilayangkan kad kuning kedua kerana masuk ke padang tanpa kebenaran pengadil pada minit ke-90 manakala Aidil pula kerana menjatuhkan Alex Akande di dalam kotak penalti selang tiga minit kemudian.  

Namun, Aidil pada hakikatnya adalah mangsa ‘kesilapan identiti’ oleh pengadil Chris Beath kerana kekasaran dilakukan oleh Akram Mahinan. 

Walau apapun, skuad bimbingan Nelo Vingada harus menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menunjukkan aksi yang berkualiti sebaliknya beraksi ala kadar dengan mutu permainan tidak banyak beza dengan perlawanan terdahulu malah dilihat kekurangan idea dan tidak agresif di dalam menjana gerakan sernagan.

Setelah separuh masa pertama berkesudahan dengan seri tanpa jaringan, Hong Kong memecah kebuntuan pada minit ke-53 setelah Alessandro menyudahkan hantaran Jaimes Mckee namun skuad negara hanya mengambil masa tiga minit untuk mengikat kedudukan setelah Syazwan Zainon menyepak masuk bola ke dalam gawang tergangga.  

Keputusan seri menyaksikan Malaysia mengutip mata pertama dan kekal di tangga tercorot Kumpulan B manakala Hong Kong pula di tangga ketiga dengan dua mata.

Ini juga keputusan seri pertama di bawah bimbingan Vingada setelah tewas tiga perlawanan terdahulu dan Harimau Malaya juga masih mencari kemenangan pertama di tahun 2017. Kemenangan terakhir mereka adalah dalam saingan Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu.

Aksi seterusnya, Malaysia akan bertemu Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -