Malaysian Football League (MFL) telah meminda Perlembagaan MFL Klausa 11 berkenaan pencalonan Presiden dalam Kongres MFL kali keempat di Hotel Marriot, di sini hari ini.

Menurut Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, pindaan Klausa 11 Perlembagaan MFL itu menyaksikan Ahli Lembaga Pengarah MFL kini telah diberikan kebebasan untuk mencalonkan mana-mana individu yang sesuai untuk menjadi Presiden MFL.

Jelas Datuk Haji Hamidin, Klausa 11 sebelum ini hanya menghadkan pencalonan Presiden MFL dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL sahaja.

Bagaimanapun, Datuk Haji Hamidin menegaskan mana-mana individu bebas sudah boleh diundi untuk menjadi Presiden MFL tetapi proses pencalonan masih kekal sama di mana pencalonan itu haruslah hadir menerusi Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Berdasarkan Perlembagaan MFL, Klausa 11; Pencalonan Presiden MFL, sekretariat telah mencadangkan pindaan klausa agar Ahli Lembaga Pengarah diberi kebebasan untuk mencalonkan individu-individu yang sesuai untuk diundi sebagai Presiden MFL.

“Sebelum ini Klausa 11.1 dalam Perlembagaan MFL mengehadkan pencalonan daripada senarai Ahli Lembaga Pengarah sahaja tetapi kini kita sudah boleh mencalonkan mana-mana individu besar dan ia harus dicalonkan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“(Klausa terdahulu) 11.2; Individu yang dicalonkan dari senarai Ahli Lembaga Pengarah MFL tidak boleh terikat dengan, dikaitkan dengan, mewakili atau memegang jawatan dalam Rakan Kongsi Kelab (dan) Rakan Kongsi Kelab adalah tidak termasuk FAM.

“Kini Klausa 11.2 itu menyaksikan individu yang dicalonkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL tidak boleh terikat dengan, dikaitkan dengan, mewakili atau memegang jawatan dalam Rakan Kongsi Kelab (dan) Rakan Kongsi Kelab adalah tidak termasuk FAM.

“Sementara itu (Klausa Asal) 11.3 menyaksikan individu yang layak dicalonkan daripada senarai Ahli Lembaga Pengarah MFL adalah individu yang telah memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah MFL sekurang-kurangnya tempoh empat tahun tetapi klausa ini telah pun dikeluarkan daripada Perlembagaan MFL,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Haji Hamidin memberitahu perwakilan telah bersetuju dengan usul penyertaan skuad projek FAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal membuat penampilan dalam kempen Liga Premier 2021.

“Perwakilan telah bersetuju dengan usul penyertaan skuad projek FAM-MSN yang akan bermain dalam Liga Premier pada tahun hadapan.

“Saya sentiasa menyokong penuh terutama apabila skuad projek ini melibatkan agenda nasional di mana saya percaya perancangan untuk pembangunan pemain-pemain muda ini akan bertambah baik dari masa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Haji Hamidin turut mengesahkan perwakilan Kongres MFL turut menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton ke stadium berskala kecil bermula musim depan.

Jelas Datuk Haji Hamidin, beliau percaya kemasukan penonton hadir ke stadium bukan sahaja dalam proses menyesuaikan diri norma baharu dalam pandemik COVID-19.
Sebaliknya, Datuk Haji Hamidin percaya kebenaran penonton hadir ke stadium bakal meningkatkan lagi industri ekonomi bola sepak tempatan khususnya melibatkan penaja-penaja.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permohonan untuk membenarkan penonton masuk ke stadium bermula 10 peratus daripada kapasiti stadium.

“Umum mengetahui bahawa kita semua sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam pandemik COVID-19 dan bola sepak tidak terkecuali di mana ini sangat penting untuk kelangsungan industri bola sepak negara.

“Hari ini perwakilan telah menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton berskala kecil dan sudah pasti kami berharap permohonan ini dibenarkan selaras pematuhan Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Saya percaya banyak perkara positif akan berlaku jika penonton kembali dibenarkan masuk ke stadium di mana saya juga difahamkan penaja-penaja telah bersedia untuk memberikan penajaan jika pihak kerajaan membenarkan penyokong ke venue pada tahun depan.

“Bukan itu sahaja, saya turut berharap MKN turut berprihatin terhadap industri bola sepak negara seperti pengusaha padang komersial dan futsal negara di mana golongan ini juga antara salah satu faktor kekuatan ekonomi bola sepak tempatan dan saya menganggap mereka juga perlu diberikan kebenaran untuk meneruskan kelangsungan hidup selaras pematuhan SOP dalam pandemik COVID-19,” katanya.

- Advertisement -