Oleh Ku Mohd Lufti

Chief de Mission Malaysia di Sukan SEA ke 29 Ogos nanti, Datuk Marina Chin optimis persiapan atlet bagi dua sukan yang dipalit masalah dalaman, memanah dan angkat berat tidak terjejas.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kian panas apabila Setiausaha Kehormatnya Pang Siew Huat meletakkan jawatan kerana kecewa dengan sikap segelintir ahli persatuan.

Manakala Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) pula tampak tidak sehaluan apabila lima anggota gabungan, Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) tidak berpuas hati selepas digantung selepas dikatakan enggan memberi surat tunjuk sebab kerana gagal menghadiri mesyuarat agung tahunan NAAM, Ogos tahun lepas.

Bagi Marina, pengurusan kedua dua persatuan itu sudahpun matang dan tahu bagaimana untuk mengatasi krisis atau masalah yang timbul.

“Semasa saya mengadakan lawatan (baru-baru ini), saya melihat persiapan atlet kedua-dua sukan itu berjalan lancar dan saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik (untuk negara).

“Saya selalu sarankan kepada atlet, tugas anda adalah fokus kepada latihan dan pertandingan dan biarkan orang lain uruskan masalah dalaman persatuan,” kata Marina

Dalam pada itu, Marina berpendapat kutipan pingat emas diawal temasya akan menyuntik semangat atlet negara yang lain untuk terus memberikan tentangan sengit bagi memastikan Malaysia meraih seberapa banyak pingat emas yang mungkin dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan.

Namun beliau tidak mahu atlet yang beraksi awal sebelum upacara pembukaan bermula antaranya sukan polo air, memanah dan sepak takraw yang dijadual bermula pada 15 hingga 17 Ogos.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam kesemua 35 jenis sukan yang mempertandingkan 405 acara di SUkan SEA ke 29 nanti.

- Advertisement -