Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XX MSN 2022 ingin menjelaskan mengenai isu pembatalan kemenangan tempat ketiga pemenang acara Kumite Lelaki ( melebihi 84 kilogram ) sukan Karate yang tular di media sosial ketika ini.

Pingat gangsa pada awalnya telah dimenangi atlet Sarawak, Barath Raj A/L Perabu tetapi telah dibatalkan ekoran bantahan rasmi terhadap keputusan perlawanan penentuan pingat gangsa yang dikemukakan oleh kontinjen Sabah kepada Juri Teknikal Sukan Karate, Sukan Malaysia Ke 20.

Ekoran pembatalan kemenangan Barath Raj, kemenangan dan pingat gangsa acara berkenaan telah diberikan kepada atlet Sabah, M Zuhair Zulkifli.

Kontinjen Sabah membuat bantahan terhadap tiga mata yang diberikan kepada Barath Raj hasil satu tendangan di saat akhir terhadap Zuhair untuk membolehkan atlet Sarawak itu menang dengan keputusan 9-7.

Hasil semakan rakaman video oleh Juri Teknikal Sukan Karate, mendapati tendangan itu telah dilakukan selepas masa pertandingan tamat dan Ketua Juri

Teknikal Sukan Karate telah memutuskan bahawa kemenangan Bharat Raj dibatalkan.

Pengurus pasukan Sarawak kemudiannya tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Juri Rayuan Tertinggi Sukan Malaysia Ke 20 terhadap keputusan Ketua Juri Teknikal Sukan Karate itu.
Majlis penyampaian pingat kepada pemenang-pemenang acara berkenaan telah pun dijalankan kepada pemenang yang sebenar.

Jawatankuasa berharap penjelasan ini akan dapat meleraikan kekeliruan dan pelbagai dakwaan yang tular di media sosial kerana ianya dibuat mengikuti peraturan pertandingan yang ditetapkan.

- Advertisement -