hokimas

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia menjadikan Jepun sebagai mangsa amukan terbaru dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016 apabila beraksi garang untuk melakar kemenangan besar 7-2 di Stadium Hoki Kuantan pada Ahad.

The Speedy Tigers menjaringkan dua gol di separuh masa pertama menerusi Nik Aiman Nik Rosemi (m-23) dan Rashid Baharom sebelum menambah lima lagi jaringan di babak kedua menerusi Nabil Fiqri Md Nor (m-33), Faizal Saari (m-37, 59), Firhan Ashaari (m-58) dan Fitri Saari (m-59).

Hasrat mencatat kemenangan bersih 7-0 bagaimanapun tidak kesampaian apabila Jepun menjaringkan dua gol di saat terakhir perlawanan menerusi Kenji Kitazato dan Kenta Tanaka, kedua-duanya pada minit ke-60.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang terdahulu menewaskan Pakistan 4-2 dalam aksi pembukaan dan kemudiannya menundukkan China 5-1 pada Jumaat sekaligus mendahului carta enam pasukan dengan sembilan mata.

“Ia adalah satu perlawanan yang cemerlang. Kita bermula dengan berhati-hati dan kemudian menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan untuk meraih mata maksima setakat ini. Secara matematiknya, kita sudah berada di separuh akhir,” ujar Stephen selepas perlawanan.

Kali terakhir Malaysia berdepan Jepun sebelum ini adalah dalam empat perlawanan persahabatan dan ujian di Jelajah Jepun di Kakamigahara pada Jun, yang mana kita tewas tiga kali dan seri sekali.

Namun ketika itu, pasukan negara tanpa tujuh pemain tonggak termasuk Razie Rahim, Nabil Fiqri, Shahril Saabah dan Fitri Saari berbanding mempunyai skuad kekuatan penuh kali ini di Kuantan.

Malaysia akan berdepan India dalam aksi seterusnya pada Rabu ini, sebelum mengakhiri aksi peringkat kumpulan dengan berdepan Korea Selatan pada 27 Oktober. 

Sementara itu, dalam satu lagi aksi berprofil tinggi, India menewaskan musuh tradisi Pakistan 3-2 dan berada di tangga kedua kedudukan kumpulan dengan 7 mata – ia adalah kemenangan kedua India ke atas Pakistan tahun ini setelah mencatat kemenangan 5-1 pada April lalu di Piala Sultan Azlan Shah.

Gol buat India dijaringkan oleh Pardeep Mor, Rupinder Pal Singh dan Ramandeep Singh manakala Pakistan membalas menerusi Muhamad Rizwan dan Muhamad Ifran Jnr.

- Advertisement -