Imej bolasepak negara di mata dunia semakin tercalar apabila isu tunggakan gaji masih belum berkesudahan.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tanpa segan silu memohon rayuan ‘derma’ untuk menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan pemain import Casio Francisco De Jesus.

KAFA diarahkan untuk menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM 629,620.20 kepada Casio oleh FIFA dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lepas.

Menerusi kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, KAFA bakal berdepan tindakan yang lebih keras daripada FIFA andai gagal melunaskan tunggakan itu.

Justeru, KAFA melancarkan tabung kutipan derma dan meminta sesiapa sahaja terutama peminat bolasepak tempatan untuk membantu.

 

 

“Oleh itu, KAFA membuat keputusan memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong setia The Red Warriors (TRW) untuk menderma atas nama Persatuan Bolasepak Kelantan secara dalam talian (online) di nombor akaun 553010630676 (Maybank).

“Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa dan penderma juga boleh menghantar salinan resit sebagai bukti melalui WhatsApp di talian 013 9283293,”kata Muzakkir

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali The Red Warriors. Yusri Che Lah baru baru ini yang mengharapkan semua pihak dalam Kelantan untuk terus cekal sedikit sebanyak mula menimbulkan lebih banyak persoalan terutama status semasa kewangan kelab.

Adakah pemain dan pegawai pasukan sedang mengalami nasib yang sama? Mungkin hanya enggan membuka mulut kerana masih menaruh keyakinan terhadap pengurusan agar masalah diselesaikan secara berhemah dan bukan hanya menabur kata kata yang tiada penghujungnya.

 

- Advertisement -