20151205-Muar City BC(blue)-Tan Boon Heong & Tan Bin Shen-008

20151205-Kajang BC(blue&red)-Chayut & Sutichon Pol-Gul-002

Belum ada pasukan yang berupaya mengugat Muar City BC dari terus merajai kedudukan pendahulu Purple League yang sedang rancak berlangsung di Sports Arena@Sentosa.

Terbaru, giliran Kajang BC pula menjadi mangsa amukan sang juara bertahan itu yang tampil cemerlang mencatat kemenangan mudah 15-2 untuk merakamkan kemenangan keenam berturut-turut sekaligus membayangkan betapa mereka tidak bersedia untuk memperlahankan momentum dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

Menentang Kajang yang belum mencatat sebarang kemenangan dan menduduki tangga tercorot liga, Muar City hanya melepaskan dua set dalam acara beregu lelaki tatkala kesemua pemain lain merakamkan kemenangan mutlak 3-0 dan ianya kemenangan kelima mereka dengan defisit lebih dari 10 set.

Kemenangan Fikri Ihsandi dalam acara perseorangan lelaki, dituruti oleh Kim Mun Hee dan pasangan beregu campuran Han Sang Hun/Lee Hyo Jung.

Aksi beregu lelaki kemudiannya menyaksikan gandingan Tan Boon Heong/Tan Bin Shen membenarkan Chayut/Sutichon Pol Gul untuk bangkit dari ketinggalan 2-0 dan mengikat kedudukan 2-2 sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 pada set terakhir.

ā€œKami perlahankan permainan dan akui ada sedikit salah faham di set ketiga yang membolehkan mereka bangkit. Mereka tidak mahu mengalah dengan mudah dan jurulatih pesan supaya kami lebih agresif untuk mematikan serangan mereka,ā€ ujar Boon Heong yang pernah digelar beregu emas negara selepas menjuarai All England 2007 bersama Koo Kien Keat. Ā 

Tan Chung Seang yang turun pada aksi terakhir, kemudiannya mengesahkan kemenangan buat Muar City dengan menewaskan Loh Ze Feng 3-0.

Kemenangan terbaru ini menyaksikan Muar City mempunyai beza besar 71 perlawanan di tangga teratas berbanding pesaing terdekat Petaling BC. Ā Ā 

Terdahulu, pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi, Petaling BC tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menundukkan Bangsar Hawks 13-3 dan terus mengekori kedudukan Muar City.

Bagi Bangsar Hawks pula, ia adalah kekalahan kelima berturut-turut buat mereka selepas hanya menang perlawanan pembuka tirai menentang Kajang BC sekaligus menyaksikan mereka kini terperosok di kedudukan dua tercorot liga.

Petaling meraih kemenangan bersih 3-0 menerusi Yeoh Seng Zoe, Ana Rovita, beregu campuran Ardianshah/Dewi Tika serta Tan Vi Hen tatkala kemenangan saguhati buat Bangsar Hawks hadir menerusi beregu lelaki Agripinna/Irfan Fadillah yang mencatat kemenangan 3-1.

- Advertisement -