jun.hoong

Oleh Muhammad Aiman

Skuad terjun negara menerima satu lagi tamparan apabila Cheong Jun Hoong menjadi penerjun elit keempat negara tersisih dari beraksi di Pusingan Grand Prix Dunia di Kuching yang bermula Jumaat kerana kecederaan belakang.

Sebelum ini, Malaysia terpaksa melupakan khidmat Pandelela Rinong yang membuat keputusan berehat seketika dari sebarang pertandingan bagi memberi tumpuan kepada pelajaran, begitu juga Nur Dhabitah Sabri yang mahu fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia manakala penerjun veteran Leong Mun Yee masih belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan hidung.

Ketiadaan kesemua penerjun tonggak ini, nyata merencatkan peluang negara memburu kejuaraan namun jurulatih, Yang Zhuliang tidak terlalu bimbang kerana sasarannya di kejohanan ini adalah memberi ruang menyerlah kepada muka-muka baru.

Ini termasuk jaguh Sukan Malaysia (SUKMA), Kimberly Bong yang sedang dipersiapkan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 – penerjun berusia 14 tahun itu yang disebut-sebut bakal bintang masa depan negara akan beraksi dalam acara 10m platform wanita.

“Kimberly akan beraksi dalam acara 10m platform buat pertama kali dalam kariernya. Ketika dia memenangi emas SUKMA Julai lalu, dia melakukannya pada ketinggian 5m. Dia ketika ini berada di Dongguan, China untuk sesi latihan selama dua minggu dan saya telah mengujinya pada ketinggian 10m.

“Saya juga telah menambah rutin lebih sukar buatnya kerana saya mahu dia meningkatkan darjah kesukaran (DD) dari 1.9 ketika ini kepada 2.7. Saya tidak mengharapkan sebarang keajaiban daripada Kimberly kerana ini adalah pertandingan senior pertamanya. Cukuplah kalau dia dapat melaksanakan rutin-rutin mudah tanpa kesilapan dari ketinggian 10m,” kata Zhuliang.

Mengenai Jun Hoong yang akan tersisih sehingga tahun depan, Zhuliang berkata adalah lebih baik pemenang pingat perak di Olimpik Rio De Janeiro Ogos lalu itu berehat kerana dia menanggung kecederaan tersebut sejak 10 tahun lalu.

Dengan ketiadaan empat penerjun elit, Malaysia hanya mempunyai seorang penerjun olimpik bagi menggalas cabaran kategori wanita di kejohanan berlangsung di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya itu iaitu Wendy Ng Yan Yee tatkala Kimberly, Loh Zhiayi dan Jasmine Lai melengkapkan skuad.

Wendy dan Jasmine akan beraksi dalam acara papan anjal manakala Zhiayi bersama-sama Kimberly dalam acara platform manakala bagi kategori seirama, Malaysia tidak menghantar wakil.

Sementara itu, bagi kategori lelaki pula cabaran akan digalas dua penerjun olimpik, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman serta Chew Yiwei dan Syafiq Puteh yang mana kesemuanya akan beraksi dalam kategori papan anjal.   

- Advertisement -