pkns.fc

Oleh Muhammad Aiman

Lima lagi perlawanan Liga Super akan berlangsung pada malam ini dengan tumpuan terarah kepada pertemuan di antara juara Piala FA, Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Di atas kertas, sememangnya Harimau Selatan mempunyai segala kualiti mengutip tiga mata namun beberapa isu luar padang yang membelenggu kem pasukan itu sejak kebelakangan ini mungkin boleh membuka peluang kepada Lang Merah untuk mengintai kejutan.

PKNS Selangor sudah berjaya melakukannya apabila muncul pasukan pertama untuk tidak tewas di Larkin dalam 14 perlawanan, setelah bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia Selasa lalu – pada hari sama Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd Radzak mengumumkan persaraan mengejut dari skuad kebangsaan.

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe bagaimanapun tidak merasakan skuad berstatus bintang JDT akan terus terganggu dengan kemelut tersebut dan sudah tentunya bersemangat tinggi mahu menebus hampa diikat PKNS pada tempoh hari.

“Saya cukup mengenali pemain mereka. Kebanyakan mereka pernah bersama saya ketika di skuad kebangsaan, mereka adalah pejuang dan fokus mereka sudah tentunya pada perlawanan ini, bukan pada perkara lain.

“Memang mereka mungkin sedikit tertekan selepas sekadar seri dengan PKNS, apatah lagi harapan penyokong mereka juga cukup tinggi terutama bila main di gelanggang sendiri, kita perlu bijak memanfaatkan sebarang situasi dan kesempatan yang hadir,” ujar Cheng Hoe yang pernah berkhidmat sebagai penolong kepada Datuk K.Rajagobal di skuad kebangsaan selama lima tahun bermula 2009 – 2013.

Aksi Liga Super pada malam ini adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan dan juga lapan pasukan lain selepas rehat panjang selama lebih sebulan sempena bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidifitri.

JDT ketika ini mendahului liga dengan 30 mata manakala Kedah berada di tangga keenam dengan 16 mata.

Perlawanan lain yang akan turut berlangsung pada Sabtu adalah Selangor menentang PDRM di Shah Alam, Pahang menentang Sarawak di Kuantan, T-Team berdepan Pulau Pinang di Kuala Terengganu dan pasukan tangga kedua Felda United melayan kunjungan Perak di Jengka.

Dalam aksi tunggal yang berlangsung pada Jumaat, Kelantan berpesta gol menundukkan Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan penyerang import Blaze Ilijoski menjaringkan empat gol pada minit ketiga, 63, 75 dan 85 manakala dua lagi gol dijaringkan Wan Zack Haikal dan Wander Luiz Junior.

Terengganu juga beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan hanya 10 pemain setelah tonggak pertahanan, Vincent Bikana dilayangkan kad merah seawal minit kedua.

- Advertisement -