Azrif

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat Azrif Nasrulhaq untuk menyarung jersi Johor Darul Takzim akhirnya menjadi kenyataan apabila pemain bek kanan kebangsaan itu mendapat pelepasan dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menyertai Harimau Selatan menerusi yuran perpindahan yang tidak didedahkan jumlahnya.

Pengurus Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, ā€œFAS telah mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bolasepak Negeri Johor. Kami berpuas hati dan bersetuju dengan tawaran dibuat JDT untuk mendapatkan Azrif, namun butir-butir persetujuan dan jumlah perpindahan tidak akan didedahkan demi kebaikan semua pihak.

ā€œAksi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur pada Selasa lalu adalah yang terakhir buat Azrif dalam jersi merah kuning. Kami ucapkan terima kasih kepada Azrif atas khidmat sepanjang bersama pasukan ini.ā€

Keinginan Azrif untuk berhijrah ke JDT, jelas bukan lagi satu rahsia di mana pemain itu sebelum ini berulang kali meminta pelepasan dari FAS untuk berhijrah ke skuad bangsawan itu sehingga dua kali cuba menebus sendiri kontraknya yang dikatakan mencecah RM2 juta, tetapi kedua-duanya ditolak FAS.

Malah, dia turut menimbulkan kontroversi pada Januari lalu, iaitu sebelum musim 2016 bermula apabila bergambar dengan jersi JDT selain dilaporkan menandatangani kontrak untuk beraksi bersama pasukan itu walhal masih mempunyai kontrak bersama Selangor.

Selangor mendakwa JDT cuba mencuri pemain itu, mendorong JDT untuk membuat permohonan maaf seterusnya membawa kepada pemecatan ketua pencari bakat mereka yang dikatakan bertanggungjawab memperkenalkan bekas pemain Harimau Muda itu kepada pengurusan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Amirudin menyatakan keyakinan tinggi terhadap barisan pemain sedia ada untuk mengalas cabaran Red Giants dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia, selain memaklumkan bahawa Selangor ketika ini dalam perbincangan untuk mengikat pemain yang berkebolehan menampung kekosongan ditinggalkan Azrif.

ā€œButiran dan perkembangan lanjut mengenai kemasukan pemain itu akan diumumkan sebelum jendela perpindahan kedua ditutup pada 15 Julai,ā€ jelas Amirudin dalam kenyataan tersebut. Ā 

Selangor juga menurutnya telah membawa masuk lima pemain Piala Presiden ke skuad utama iaitu K.Sarkunan (tengah bertahan), Faizuddin Abidin (tengah), A.Namathevan (bek kanan), K.Kannan (bek kiri) dan Badrul Amin Roslan (tengah menyerang) untuk memberi nafas baru kepada pasukan.

- Advertisement -