KUALA Lumpur bermula garang selepas menang kedua-dua perlawanan pembukaan untuk mendahului kedudukan Kumpulan B pada saingan hari pertama edisi sulung Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan Bawah-23 KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Dua kemenangan – 4-3 ke atas Sabah dan mengatasi Melaka 3-2 sekaligus meletakkan Kuala Lumpur sebagai peneraju utama saingan yang menampikan 13 pasukan itu.

Selangor dan Pulau Pinang turut menonjolkan status sebagai pencabar utama dengan mengekori rapat Kuala Lumpur selepas melakar satu kemenangan dan satu keputusan seri.

Sembilan perlawanan – tiga dalam Kumpulan A dan enam perlawanan Kumpulan B – berlagsung pada hari pertama kejohanan itu.

Kejohanan pertama anjuran KHM itu bertujuan yang mencari pemain muda untuk diketengahkan pada kejohanan jeputan 5’s anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland pada awal Jun ini.

Pulau Pinang muncul pasukan pertama meraih kemenangan besar, menundukkan Sarawak 6-0 Sarawak tetapi sekadar mampu seri 2-2 dengan Selangor pada perlawanan kedua.

Selangor mengutip tiga mata berharga dengan mengetepikan Negeri Sebilan 2-1 manakala Sabah bangkit dari kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur untuk melakar kemenangan pertama mengatasi Negeri Semblan 3-2.

Jurulatih Selangor Alam Syah Salim mengakui anak buahnya agak gugup tampil dalam kejohanan sulung itu dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada saingan pagi.

“Kami bermula agak perlahan, tetapi di sebelah petang menentang Pulau Pinang, pemain dapat fokus biarpun sekadar mengutip satu mata seri dengan Pulau Pinang kerana keletihan,” kata beliau yang menetapkan untuk mengemudi Selangor ke separuh akhir.

Jurulatih Pulau Pinang, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pula puas hati dengan prestasi hari pertama skuad bimbingannya yang menetapkan sasaran muncul sebagai antara empat terbaik.

“Saya puas hati dengan kemenangan besar ke atas Sarawak tetapi menentang Selangor, memang peluang sama rata. Kami akan perbaiki segala kelemahan dengan taktikal lebih kemas untuk berdepan Negeri Sembilan esok,” kata beliau.

Saingan kumpulan A pula menyaksikan tiga perlawanan berlangsung dengan Kelantan dan Kedah bermula baik untuk mengisi dua kedudukan teratas.

Kelantan memastikan tiga mata penuh mengatasi Pahang 3-1 manakala Kedah juga terikat di kedudukan teratas selepas menundukkan Perak 4-3. Manakala, Perlis dan Terangganu terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 3-3.

Kejohanan lima hari yang diadakan secara karnival itu berakhir 6 Mac ini dengan peringkat suku akhir pada Sabtu (5 Mac), diikuti separuh akhir dan perlawanan akhir pada Ahad.

KEPUTUSAN PENUH (2 Mac)

KUMPULAN A
Kedah 4-3 Perak
Pahang 1-3 Kelantan
Perlis 3-3 Terengganu

KUMPULAN B
Pulau Pinang 6 Sarawak 0
Pulau Pinang 2-2 Selangor
Selangor 2-1 Negeri Sembilan
Sabah 3 Negeri Sembilan 2
Kuala Lumpur 4-3 Sabah
Kuala Lumpur 3-2 Melaka

 

- Advertisement -