super.leagueOleh Muhammad Aiman

Kelantan melupakan seketika segala kontroversi dan isu dalaman yang membelenggu pasukan itu apabila menyambung tirai aksi Liga Super yang berehat lebih sebulan dengan berpesta gol menewaskan Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Malam aib buat Terengganu bermula seawal minit kedua apabila pemain pertahanan Vincent Bikana dilayangkan kad merah oleh pengadil Zohri Tajudin kerana mengasari Abdul Manaf Mamat dalam kotak penalti dan pemain import dari Croatia, Blaze Ilijoski menyempurnakan penalti untuk gol pembukaan Kelantan.

Walaupun tuan rumah pantas menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Issey Nakajima pada minit ketujuh, skuad bimbingan Velizar Popov menuju ke bilik persalinan dengan mendahului 2-1 hasil jaringan pemain import baru, Wander Luiz Junior pada minit ke-44.

Hasrat sang penyu untuk menterjemahkan kebangkitan di babak kedua bagaimanapun tidak kesampaian sebaliknya The Red Warriors mendominasi sepenuhnya perlawanan, berhasil menambah jaringan ketiga menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-58, diikuti tiga lagi jaringan Ilijoski pada minit ke-63, 75 dan 83.

Ianya adalah kekalahan kelapan Terengganu dari 14 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, dan kekalahan terbesar di laman sendiri selepas tewas 1-4 kepada Felda United pada April lalu sementara bagi Kelantan, ianya kemenangan pertama dalam saingan liga selepas buntu pada tiga perlawanan terakhir.

Kemenangan membolehkan Kelantan melonjak ke tangga keempat kedudukan liga dengan 16 mata, mengatasi T-Team, Kedah dan Terengganu menerusi perbezaan jaringan manakala Terengganu tergelincir ke tangga ketujuh.  

Baki lima lagi perlawanan Liga Super akan berlangsung pada Sabtu dengan T-Team berdepan Pulau Pinang di Kuala Terengganu, Selangor menentang PDRM di Shah Alam, Felda menentang Perak di Jengka, Pahang menentang Sarawak di Kuantan dan pendahulu liga JDT melayan kunjungan Kedah di Larkin.

- Advertisement -