causeway2016-1

Oleh Muhammad Aiman

Keputusan seri tanpa jaringan menentang Singapura pada Jumaat bukan sahaja memperlihatkan kepada kita mengenai kepincangan dalam skuad kebangsaan, tetapi turut memberi bayangan ketara betapa hasrat membentuk sebuah skuad mantap berdaya saing tidak akan tercapai dalam masa terdekat.    

Dengan rombakan besar pada kesebelasan utama, Harimau Malaysia tampil dengan prestasi hambar kurang bertenaga dan pada hakikatnya bernasib baik untuk tidak tewas kepada jiran seberang tambak itu yang dilihat lebih bernafsu mencari kemenangan di gelanggang sendiri.

Namun pengendali Dato’ Ong Kim Swee cuba sedaya upaya melihat keputusan di Stadium Nasional dari sudut pandang positif – ya, positif, walaupun bukan pada prestasi pemain, tetapi pada keputusan perlawanan yang lebih baik dari kekalahan 0-3 kepada Indonesia di Solo bulan lalu.     

“Kita bertahan dengan baik, sebagai satu pasukan dan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Seperti saya katakan, ianya bukan mudah kerana Singapura menurunkan kesebelasan terbaik mereka dan kita beraksi baik untuk tidak melepaskan gol.

“Sama ada saya gembira atau tidak dengan permainan mereka tunjukkan tidak penting, apa yang penting adalah dapatkan keputusan. Saya juga mahu pemain bermain bolasepak cantik tetapi jika keputusan tiada maka ia tetap sesuatu yang teruk,” kata Kim Swee.

Susulan aksi longlai ketika tewas kepada Indonesia, Kim Swee menurunkan hanya dua pemain senior Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah di dalam kesebelasan utama, tatkala dia merombak benteng terakhir dengan memberikan kap sulung kepada dua pemain Kedah Khairul Helmi Johari dan Rizal Ghazali, selain menurunkan Shahrul Saad dan Nazirul Naim Che Hashim manakala Khairul Azhan Khalid ditugaskan menjaga gawang.

Azrif Nasrulhaq dan Safawi Rashid masing-masing bermain di sayap kanan dan kiri, manakala Irfan Fazail dan Hazwan Bakri melengkapkan senarai kesebelasan.

Berbeza dengan Singapura bimbingan V.Sundramoorthy, mereka membariskan lapan pemain yang merupakan anggota skuad Lions XII yang menjuarai Liga Super 2013, selain turut diperkuatkan pemain veteran berusia 38 tahun Daniel Bennett.

Meskipun sedar ia peluang terbaik menyerlahkan potensi dan memikat hati peminat, rata-rata pemain dilihat tidak ada kesungguhan mahu membuktikan sesuatu, sekadar bermain ala kadar.

Dengan berbaki hanya lebih kurang lima minggu sebelum Piala AFF Suzuki bermula, ianya jelas situasi sukar buat Kim Swee dan perlawanan persahabatan seterusnya menentang Afghanistan Selasa ini akan menjadi medan penilaian terakhir buatnya memuktamadkan senarai akhir pemain.

Bagus atau tidak, ada kualiti atau tidak, kita perlu terima hakikat inilah barisan pemain terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini dan mahu tidak mahu, kepada mereka inilah Kim Swee perlu menyandarkan harapan.

- Advertisement -