Sukan SEA pada Ogos ini akan menjadi acara besar yang pertama yang akan diadakan di Velodrom Nasional.

SEJARAH baru terlakar dengan perasmian Velodrom Nasional Nilai pada Khamis (25 Mei 2017), yang menandakan era baru sukan berbasikal negara dan sekaligus menyuntik semangat buat skuad trek negara menjelang bermulanya Sukan SEA ke-29 pada Ogos ini. Berbaki 85 hari sebelum tirai saingan Sukan SEA 2017 disingkap, Velodrom kelas satu bertaraf dunia itu, yang menjadi kebanggaan komuniti berbasikal dan peminat sukan amnya, sedia menjadi gelanggang saingan acara trek selama tiga hari dari 27-29 Ogos.

Kira-kira dua ribu peminat dan penonton yang hadir pada majlis pelancaran nyata teruja dengan kehadiran kelibat lima legenda berbasikal trek negara dari tiga generasi — Datuk Ng Joo Ngan, Rosman Alwi, M Kumaresan, Josiah Ng dan jaguh Keirin, Azizulhasni Awang – yang diberi penghormatan untuk merasmikan Velodrom tertutup bersama Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Datuk Seri Utama Haji Mohammad Hasan.

Pelancaran gemilang penuh nostalgia itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Dato’ Seri Zolkples Embong, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, Chef de Mission Malaysia ke Sukan SEA ke-29, Datuk Marina Chin serta ketua jurulatih skuad trek negara, John Beasley serta penggerak-penggerak utama sukan berbasikal negara.

Pembabitan Datuk Ng Joo Ngan, Kumaresan, Rosman, Josiah dan Azizulhasni – juara dalam era masing-masing – bagi merasmikan Velodrom itu merupakan penghormatan tinggi buat mereka yang selama ini banyak menyumbang terhadap peningkatan sukan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Majlis pelancaran turut dihadiri lima legenda berbasikal trek negara dari tiga generasi — Datuk Ng Joo Ngan, Rosman Alwi, M Kumaresan, Josiah Ng(kiri) dan jaguh Keirin, Azizulhasni Awang(kanan)

YB Brig Jen Khairy berkata pembinaan Velodrom Nasional berkelas Satu itu menjadi bukti keazaman dan komitmen tinggi kerajaan dalam membangunkan sukan berbasikal dan melahirkan lebih ramai juara antarabangsa.

Selain Velodrom Nasional, kerajaan juga akan mempertimbangkan membina trek mini dan menaik taraf velodrom di Ipoh, Perak. “Selain Velodrom Rakyat Ipoh yang kini sedang dinaik taraf, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan membina velodrom baru bagi menggantikan Velodrom di Cheras untuk menampung keperluan latihan atlet berbasikal negara.

“Kerajaan, melalui Rancangan Malaysia Ke-11, akan mempertimbangkan untuk membina tujuh buah Mini Trek Berbasikal (Banking) di negeri yang telah dikenalpasti di antaranya di Kelantan, Kedah Sabah dan Johor.

“Saya berharap Kerajaan negeri yang telah dikenal pasti dapat mempermudahkan proses pembinaan Mini Trek Berbasikal tersebut nanti,”katanya lagi.

Melengkapkan gimik perasmian, kesemua lagenda berbasikal negara mengelilingi trek sebelum Azizul Hasni Awang(kanan) dan Josiah Ng(kiri) bertarung dalam acara pecut.

Velodrom Nasional mula dibina ini pada Januari 2015 dan mengambil masa selama dua tahun lima bulan untuk disiapkan sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan pada 20 Mei 2017.

Sukan SEA pada Ogos ini akan menjadi acara besar yang pertama yang akan diadakan di Velodrom Nasional. Trek berukuran 250 meter itu yang mampu memuatkan hampir dua ribu penonton , mempunyai pelbagai kemudahan terkini selain trek BMX yang juga menjadi salah acara Sukan SEA nanti.

YB Brig Jen Khairy mahu agar lebih banyak aktiviti dilakukan di gelanggang berkenaan, baik untuk atlet atau orang ramai bagi memastikan ia digunakan sepenuhnya .

“Kita jemput kelab, persatuan, dan semua yang berminat dalam sukan berbasikal termasuk yang amatur, pengikut ‘fixie’ dan sebagainya untuk mereka datang.

Pada Sukan SEA nanti, acara trek menjadi lubuk emas acara berbasikal dengan 13 emas dipertandingkan dalam tempoh tiga hari. Acara lebuhraya mempertandingkan 5 emas manakala BMX pula 2 emas.

- Advertisement -