Penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S. Kumar dan juara Kejohanan Wushu Dunia 2013 dan 2017, Phoon Eyin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negeri Sembilan pada majlis Apresiasi Sukan Negeri Sembilan 2017 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Kumar dan Phoon Eyin menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan piala.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Negeri Sembilan Fouzee Abd. Aziz.

Kumar, 38, yang berasal dari Tampin, pernah memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan 2017.

Selain itu, pencapaian cemerlang beliau ialah mewakili pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia 2018, memenangi pingat emas Sukan SEA 2017, naib juara Piala Asia 2017 di Bangladesh dan tempat kelima pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

Sementara pencapaian terbaik Phoon Eyin ialah memenangi dua pingat perak pada Sukan SEA 2017, pingat emas Kejohanan Wushu Dunia 2017 di Rusia dan pingat emas Kejohanan Wushu Antarabangsa Hong Kong 2017.

Atlet dari Seremban itu mula bergiat aktif dalam sukan wushu sejak 2008.

Sembilan atlet dicalonkan untuk kategori Olahragawan, manakala empat calon bagi Olahragawati.

Sementara itu, daripada 65 atlet Negeri Sembilan yang mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 44 atlet menyumbang 16 pingat emas, 13 perak dan 11 gangsa.

Sepuluh atlet negeri ini yang bersaing pada Sukan Para ASEAN 2017 pula, berjaya menyumbang empat pingat emas, enam perak dan tiga gangsa.

Kesemua mereka menerima antara RM1,000 dan RM5,000.

Turut menerima cenderahati pada majlis berkenaan ialah legenda Negeri Sembilan, Tan Sri P. Alagendra dalam sukan hoki, Zambrose Abdul Rahman (olahraga), Lawrence Van Huizen (hoki), James D\’ Cruz (hoki), Soong Poh Wah (ping pong), S. Sabapathy (olahraga), Tan Kok Heng (bola keranjang), Zainordin Hussain (bola sepak), Shamsuudin Shaik Ali Sayabo (karate) dan Sahak Yasin (sepak takraw).BERNAMA

Foto- BERNAMA

- Advertisement -