Penganjuran Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia yang tertangguh sebelum ini akan menemui peminat pada 10 hingga 19 Disember 2021 dan perkara tersebut telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah,  Shurizan Mansor.

Kejohanan sulung itu akan berlangsung secara karnival, mengikut format liga satu kumpulan dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI), Tanjong Malim, Perak telah dipilih sebagai venue berlangsungnya kejohanan tersebut.

Sebanyak sembilan (9) pasukan lelaki dan enam (6) pasukan wanita akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang pertama kali diperkenalkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Saingan liga juga akan dianjurkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga UPSI bagi memastikan kejohanan dilangsungkan dengan selamat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, En Shurizan Mansor, selepas beberapa kali terpaksa menunda penganjuran kejohanan tersebut ekoran kekangan yang dihadapi termasuk sekatan pandemik Covid-19, beliau berharap penganjuran sulung ini akan dapat berlangsung mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Setelah beberapa kali tertunda, kami berharap kejohanan ini dapat direalisasikan walaupun jumlah pasukan yang mengambil bahagian dalam skala kecil. Kami berharap kejohanan ini akan menjadi pemangkin untuk menaikkan lagi sukan Hoki Dalam Dewan itu sendiri.

“Kami merancang untuk menganjurkan kejohanan ini secara tahunan dan antara matlamat kami untuk menganjurkan kejohanan ini adalah bagi menarik minat lebih ramai orang di luar sana untuk bermain sukan ini.

“Saya berharap dengan tempoh sebulan yang tinggal menjelang kejohanan, pasukan-pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mereka akan melakukan persiapan dengan sebaiknya bagi memastikan saingan hebat dapat diberikan dalam kejohanan ini.

“Penganjuran kejohanan ini juga akan digunakan sebagai platform untuk mencari pemain-pemain yang boleh menyarung jersi pasukan kebangsaan di mana Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun hadapan. Jadi kejohanan ini adalah salah satu landasan untuk pemilihan pemain kebangsaan dilakukan,” ujar beliau yang turut berharap penganjuran sulung ini akan turut menjadi titik permulaan bagi menarik minat penaja untuk menjadi rakan penaja di masa hadapan.

Berikut senarai pasukan Lelaki dan Wanita yang telah mengesahkan penyertaan mereka:

Lelaki
1 TERENGGANU HOCKEY TEAM (THT)
2 ATM  
3 ATM JLJD  
4 DBKL HT  
5 QNET PHOENIX  
6 PERLIS NORTHERN LION  
7 UITM HC  
8 SILVER STICK  
9 KPT-MASUM  

Wanita 
10 MUTIARA IMPIAN-MSPP-PSHA  
11 WIPERS  
12 CS MUSTANG HOCKEY TEAM  
13 DBKL HT  
14 BNHC KL (BUKIT NANAS HC)  
15 MOHC  

- Advertisement -