SELEPAS dibatalkan tahun lepas ekoran wabak  Covid-19, saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara,  Le Tour de Langkawi akan kembali mewarnai laluan dan jalanraya di negara ini pada Jun ini.

Sekalipun masih berada dalam era pandemik Covid-19,  Kementerian Belia dan Sukan, penganjur acara Human Voyage dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), memutuskan untuk menganjurkan saingan 2022 untuk meneruskan tradisi dan kesinambungan LTdL sebagai acara jelajah berbasikal paling berprestij negara.

Majlis Pengenalan Laluan LTdL 2022 di rasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di Padang Awam Klebang Restu Ipoh hari ini, dalam suasana meriah tetapi patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Saingan edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries itu dijadualkan dari 11 hingga 18 Jun, meliputi laluan sejauh 1,183km dan membabitkan lapan peringkat menyusuri laluan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Langkawi.

Dato’ Seri Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, LTdL 2022 menjadi acara yang ditunggu-tunggu selepas tidak menemui peminat pada tahun lepas akibat wabak Covid yang memaksa pembatalan kebanyakan acara sukan tempatan dan antarabangsa utama selama hampir dua tahun di negara ini.

“Dengan kembalinya LTdL 2022, peminat sukan berbasikal tentu teruja dan selain membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi negara, LTdL itu juga diharap membuka mata mengenai keadaan sebenar dalam negara, terutamanya tahap keselamatan dan langkah ketat yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal penularan wabak Covid di negara ini,” kata beliau.

Dato’ Seri Ahmad Faizal yakin perlumbaan tahun ini tiada beza dengan kehebatan edisi-edisi sebelum ini, kalau tidak pun lebih menarik dan sengit dengan kehadiran pelumba dan apasukan utama antarabangsa.

Tetapi yang paling penting ialah memastikan semua pihak terbabit, warga LTdL, pelumba, tetamu dan orang ramai sentiasa menjaga tahap keselamatan kesihatan masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk penganjuran acara sukan, kata beliau.

Perlumbaan LTdL berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI iaiatu Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.

Berbeza saingan 2020 yang bermula di Kuching, Sarawak, LTdL 2022 kembali ke berpusat di Semenanjung dan tertumpu di Pantai Barat. Bermula di Kuala Lumpur, menyusuri laluan ke selatan di Kuala Pilah, sebelum merentasi Kuala Klawang ke Raub seterusnya pendakian getir ke Genting Highlands yang hadir seawal peringkat ke-3 dari Putrajaya.

Satu lagi laluan pendakian getir dari pekan Kuah ke Gunung Raya di Langkawi bakal menjadi tarikan sebelum penamat dengan laluan loop di Langkawi.

Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain.

Nama-nama besar seperti bekas juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, bekas juara dunia Paolo Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia pernah mewarnai edisi-edisi LTdL sebelum ini.

Sempena kembalinya LTdL, acara sukan dan komuniti juga dirancang bagi menarik minat masyarakat setempat dan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, penaja, peminat sukan dan rakyat keseluruhan untuk menjadikan LTdL 2022 lebih meriah dan menarik.

- Advertisement -