mas.timor

Oleh Muhammad Aiman

Skuad Harimau Malaysia kendalian Dato’ Ong Kim Swee  akan berdepan Timor Leste sekali lagi dalam aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 setelah majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia petang tadi menemukan kedua-dua pasukan pada perlawanan yang dijadual berlangsung secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun depan.

Malaysia dan Timor Leste pernah dua kali bertemu sebelum ini dalam aksi Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Pasukan kebangsaan yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh diikat 1-1 oleh Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2015 dan menang 1-0 di Dili pada 13 Oktober menerusi jaringan tunggal Amri Yahyah.

Kim Swee yang dihubungi selepas majlis undian berkata beliau mengharapkan agar skuad negara akan mencatat kemenangan untuk melayakkan diri dengan lebih cepat ke pusingan ketiga kelayakan tanpa perlu beraksi di pusingan play-off kedua meskipun sedar Timor Leste bukan lawan yang boleh dipandang enteng.

“Bagi saya pasukan mana sekalipun kita perlu beri perhatian. Biarpun kita pernah menewaskan Timor Leste sebelum ini kita perlu sedar bahawa mereka bukan lawan mudah untuk ditewaskan. Saya tidak boleh kata kita benar-benar sudah bersedia untuk bertemu Timor Leste kerana permainan sentiasa bertukar.

“Sudah tentu saya tetap perlu melakukan banyak analisis mengenai pasukan Timor Leste dalam masa sama fokus untuk persiapkan pasukan sendiri. Setiap pasukan mahu layak lebih cepat ke peringkat kumpulan tanpa mahu mengharungi aksi play-off kedua dan kita perlu menang kerana ini boleh membantu kita merancang perlawanan untuk 2017 dengan lebih awal,” ujar Kim Swee.

Malaysia perlu menang ke atas Timor Leste untuk layak secara terus beraksi di saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019 yang akan bermula pada 28 Mac 2017.

Tetapi sekiranya tewas, Malaysia tetap mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kelayakan ketiga tetapi perlu mengharungi satu lagi perlawanan play-off dengan menentang pemenang antara Taiwan dan Kemboja.    

Untuk rekod, Malaysia terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk beraksi di pusingan kelayakan ketiga selepas menamatkan kempen pusingan kedua Kumpulan A di tangga keempat dengan mengumpul empat mata dari lapan perlawanan.

- Advertisement -