Aksi pertama Pusingan ā€œSuper 4ā€ yang menemukan Malaysia dengan Korea Selatan hari ini di Stadium Hoki Gelora Bung Karno menyaksikan Skuad Negara berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan perlawanan pertama ditutup dengan satu mata selepas mengikat Korea Selatan 2-2.

Malaysia yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan keseluruhan akan turun bertemu India dalam aksi kedua Pusingan Super 4 yang akan berlangsung esok jam 7.30 malam waktu Malaysia.

Seawal minit keempat, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama dan kelebihan tersebut tidak dipersiakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim yang melakukan satu flik mencari sudut bawah sebelah kanan pintu gol Korea Selatan.

Lee Namyong bagaimanapun mengikat kedudukan menjadi 1-1 selepas Korea Selatan menerima kelebihan pukulan sudut penalti pada minti ke-12 dan Malaysia hampir menjarakkan kembali kedudukan menerusi gerakan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Shello Silverius namun percubaan tidak menemui sasaran dan kedudukan kekal menutup aksi suku pertama.

Memasuki suku kedua, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing namun serangan yang dilakukan oleh Korea Selatan menghasilkan gol pada minti ke-21 untuk Korea Selatan mendahului 2-1.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak-anak buah A. Arulselvaraj untuk kembali bangkit menyamakan kedudukan termasuk menerusi percubaan Kapten Pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, namun percubaan daripada Marhan diselamatkan oleh penjaga gol Korea Selatan.

Gol yang dinantikan pasukan negara tiba pada minit ke-40 apabila situasi kelam kabut di dalam kawasan gol Korea Selatan berjaya dimanfaatkan oleh Mohamad Ashran Hamsani yang bijak untuk menyudahkan bola hantaran Faizal Saari walaupun berada di dalam keadaan sudut yang sempit.

Suku terakhir kedua-dua pasukan dilihat melakukan percubaan untuk memimpin perlawanan namun kedudukan 2-2 kekal menutup aksi 60 minit yang berlangsung hari ini.

Pujian harus diberikan kepada pemain negara yang tidak menyerah kalah dan bermati-matian mempertahankan pintu gol negara daripada terus dibolosi termasuk meletakkan badan mereka untuk memastikan Korea Selatan gagal untuk menambah sebarang jaringan.

- Advertisement -