squash

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan wanita Malaysia muncul juara Kejohanan Skuash Berpasukan Asia setelah menundukkan India 2-0 pada perlawanan akhir di Universiti Nasional Taiwan, sebentar tadi.

Turun dengan status underdog tanpa kelibat Dato’ Nicol David dan Low Wee Wern, tidak menghalang pasukan negara bimbingan Ong Beng Hee untuk mempertahankan kejuaraan seterusnya muncul juara buat kali kesembilan.

Malaysia yang merupakan pilihan ketiga kejohanan sebelum ini pernah muncul juara pada 1992, 1996, 1998, 2002, 2004, 2006, 2008 dan 2014.

Mata buat skuad negara disumbangkan oleh pemain muda S.Sivasangari yang menewaskan Sachika Ingale 3-0, dan juga ketua pasukan Delia Arnold yang menyumbangkan mata kemenangan setelah menewaskan pemain harapan tuan rumah Joshna Chinappa 3-1.

Kekalahan menyaksikan India berputih mata mengulangi pencapaian muncul juara pada 2012, dan ini adalah kali ketiga mereka menamatkan kejohanan selaku naib juara.

Terdahulu pada aksi separuh akhir yang berlangsung Sabtu, Malaysia menyingkirkan Jepun manakala India pula menewaskan pilihan utama Hong Kong.

- Advertisement -