Pertemuan kedua bagi Siri Jelajah United Kingdom 2021 menyaksikan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tewas 1-2 kepada Surbiton H.C pada aksi yang berlangsung di Surbiton Hockey Club, hari ini.

Gol tunggal pasukan negara dijaringkan oleh Muhammad Najib Abu Hassan menerusi gol padang pada minit ke-47 sementara gol pasukan lawan, Surbiton H.C dijaringkan pada minit ke-22 dan 26 juga menerusi gol padang.

Disebalik keputusan tersebut, pemain senior negara, Muhammad Razie Abd Rahim menjelaskan beliau bersama rakan sepasukan akan menganalisis aksi hari ini untuk mengenalpasti kesilapan yang perlu diperbetulkan menjelang dua lagi aksi bertemu pasukan kelab sebelum menentang pasukan Ireland, Wales dan Perancis.

“Untuk perlawanan hari ini, walaupun kami tewas tetapi terdapat perkara positif yang kami perolehi berbanding perlawanan pertama termasuk kami telah memperbaiki kesilapan pada perlawanan sebelum ini.

“Untuk keputusan hari ini pula, kami akan membuat analisi semula bagi mengenalpasti apa kesilapan yang menyebabkan kami tewas dan ia juga akan digunakan sebagai persediaan bagi menghadapi perlawanan ketiga dan keempat bertemu pasukan kelab.

“Selain itu kami juga perlu memperbaiki kesilapan individu dan mengurangkan kesilapan-kesilapan tersebut,” ujar Razie Rahim.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj memuji persembahan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman yang beraksi dengan cemerlang pada perlawanan kedua selain melihat masih terdapat beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buahnya.

“Kami beraksi dengan keadaan cuaca yang amat teruk iaitu hujan lebat, bagaimanapun persembahan pemain daripada kawasan 25 ke 25 sangat baik dan menarik terutama dari segi pergerakan bola serta kawalan bola walaupun kami tewas 1-2.

“Apa yang perlu diperbaiki adalah kedudukan dan persembahan di dalam kawasan lawan untuk menyerang dan kawasan kami sendiri untuk bertahan selain perlu lebih tangkas untuk menang bola 50/50 di dalam kedua-dua kawasan tersebut.

“Pujian harus diberikan kepada penjaga gol kami, Hafizuddin yang bermain dengan cemerlang serta selesa beraksi dalam perlawanan hari ini,” jelas Arulselvaraj.

Skuad negara akan turun untuk aksi ketiga bertemu pasukan kelab, Hampstead & Westminister H.C esok (30 September) jam 2.30 pagi waktu Malaysia.

 

- Advertisement -