Pengurusan pasukan Melaka United tekad untuk mengekalkan posisi di Liga Super musim depan.

Sentuhan pengendali baru pasukan itu, Eduardo Almeida dilihat mempunyai kemampuan yang diperlukan oleh M.U untuk memberi saingan di separuh masa kedua Liga Super musim ini.

Bagi pengendali kelahiran Portugal itu, beliau berpuas hati dengan keadaan semasa pemain pemain Melaka United selepas melihat persembahan mereka dalam beberapa aksi persahabatan.

“Matlamat utama adalah mengekalkan Melaka United dalam Liga Super. Kami akan berikan yang terbaik untuk memastikan pasukan beraksi dengan baik dan cuba memenangi setiap perlawanan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya sudah bersama dengan mereka (pemain pemain) hampir empat atau lima hari, kami ada perlawanan persahabatan sehingga saya berpuas hati dengan prestasi pemain,”Kata Almeida.

Tambahnya lagi, pengalaman ketika membimbing T Team ketika musim 2013 dan 2014 akan digunakan untuk membimbing M.U diseparuh masa kedua Liga Super yang akan bermula pada Julai.

Pengurus Melaka United, Datuk Yusof Mahadi pula melihat suntikan semangat dikalangan pemain pemain yang Berjaya melakar kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Melaka United menang 3-2 ke atas Negeri Sembila dan menewaskan Johor Darul Takzim 2 dengan keputusan 3-1.

“Setelah dua kemenangan daripada perlawanan yang kita adakan dengan beberapa pemain baru, kita lihat semangat itu sudah datang balik dan kita berjaya mengembalikan momentum kemenangan.

“Saya harapkan dengan kehadiran jurulatih baru ini, momentum kemenangan ini dapat diteruskan apabila kita berhadapan dengan aksi sebenar selepas saja Hari Raya ini terutama apabila perlawanan pertama kita berhadapan PKNS nanti,” kata Yusof.

Selepas mengharungi separuh perjalanan Liga Super, Melaka United menghuni tangga ke 10 liga dengan 11 mata hasil dua kemenangan lima keputusan seri dan lima kekalahan. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -