Malaysian Football League (MFL) menegaskan bahawa budaya samseng bola sepak tidak akan sesekali mendapat tempat di dalam Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam melahirkan rasa kesal dengan insiden pergaduhan sesama penyokong yang telah berlaku di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Jelas Stuart, perbuatan tidak bermoral itu telah memberikan kesan buruk kepada industri Liga Malaysia yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan kelonggaran daripada pihak kerajaan dalam pandemik COVID-19 ini.

“Pertama, saya mewakili MFL ingin merakamkan ucapan simpati kepada mangsa-mangsa dalam insiden pergaduhan selepas aksi Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC yang saya difahamkan ada di antara mereka mengalami kecederaan akibat mercun dan lain-lain di mana sudah jelas ini satu perbuatan yang tidak bermoral.

“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua pihak di dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada pihak kerajaan. Jadi MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Stuart memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berhubung insiden itu.

Katanya, MFL masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa dan berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang kembali.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Stanley dan Dr Johan di mana mereka sendiri cukup kesal dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan ada yang tercedera disebabkan pergaduhan ini.

“Bukan sahaja Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC tetapi kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia menolak keras budaya samseng di dalam bola sepak kerana itu bukan budaya kita.

“Ini kerana kita semua senada dalam perkara ini dan saya berharap industri bola sepak di negara ini dapat bebas daripada daripada budaya samseng bola sepak.

“Paling mustahak kita mesti memastikan stadium selamat untuk semua peminat dan tidak membiarkan tindakan segelintir itu membahayakan kanak-kanak dan orang dewasa demi keselamatan dan persekitaran yang selesa diperlukan untuk semua penyokong,” ujarnya.

 

- Advertisement -