20160105-Ampang Jaya BC(yellow)-Kuan Kam Chung & Shevon Lai Jemie-005

20160105-Klang United BC(blue)-Evert Sukamta-005

Ampang Jaya BC semakin hampir untuk mengesahkan slot beraksi di Resorts World Genting Champions Challenge selepas mencatat kemenangan penting 11-7 ke atas Klang United pada aksi Purple League 2015 yang berlangsung di Sports Arena@Sentosa.

Kemenangan dengan defisit empat mata membolehkan Ampang Jaya kekal di kedudukan kelapan liga namun pada hakikatnya mereka terlepas peluang untuk melonjak sekurang-kurangnya satu anak tangga untuk berada di kedudukan lebih selamat berikutan kekalahan mengejut bintang Jepun, Kento Momota pada aksi terakhir.

Turun selaku pilihan untuk memenangi perlawanan dan melebarkan jurang mata buat Ampang Jaya, pemain nombor tiga dunia itu bagaimanapun tidak langsung menghampiri prestasi terbaiknya ketika berdepan pemain tidak ternama dari Indonesia, Evert Sukamta dan beberapa kali kandas di jaring.

Sukamta sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya aksi longlai Momota untuk mencatat kemenangan 3-1 (7-11, 11-4, 11-9, 11-2) dalam masa 34 minit.

Jurulatih Klang United, Yap Kim Hock berkata kekalahan terbaru ini sudahpun menutup peluang pasukannya untuk beraksi di Champions Challenge namun secara keseluruhannya berpendapat pasukannya menunjukkan peningkatan yang baik.

“Kita sudah jauh tertinggal untuk mengejar lapan teratas, hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi jadi saya rasa kedudukan kesepuluh adalah paling relevan. Apapun, di sebalik kedudukan ini, saya gembira melihat semua pemain tunjukkan peningkatan dan menggunakan platform Purple League untuk menimba pengalaman.

“Pemain tempatan mahupun antarabangsa, datang beraksi di sini dan ia satu pertandingan yang berkualiti untuk membentuk pemain ini menjadi jaguh dunia. Sukamta umpamanya pada hari ini, sebelum perlawanan saya cuma harap dia boleh kutip satu mata tetapi dia menang, kalahkan pemain nombor 3 dunia. Dia banyak meningkat dan permainannya semakin matang, begitu juga pemain lain,” ujar Kim Hock.         

Ampang Jaya yang berada dalam persaingan tiga penjuru bersama-sama Serdang BC dan Nusajaya BC untuk mencari tiket beraksi di Champions Challenge, bermula dengan langkah kanan apabila Lee Cheuk Yiu mencatat kemenangan 3-1 (11-9, 11-6, 10-11, 11-5) ke atas Leong Jun Hao.

Kedudukan kembali terikat 4-4 apabila Klang United bangkit menerusi perseorangan wanita, Zhang Bei Wen yang menang 3-1 (11-9, 6-11, 11-7, 11-4) ke atas Ho Yen Mei. 

Ampang Jaya bagaimanapun tidak memberi ruang kepada Klang United untuk terus menterjemahkan kebangkitan apabila tampil garang mencatat kemenangan 3-0 dalam acara beregu campuran (Kuan Kam Chung/Shevon Lai) dan beregu lelaki (Ong Yew Sin/Rendy Sugiarto).

Ampang Jaya dan Serdang kedua-duanya akan mengesahkan tempat di kelompok lapan teratas seandainya Nusajaya tewas di tangan Petaling BC pada Rabu (esok).

Untuk rekod, hanya lapan pasukan teratas dalam saingan liga akan layak beraksi di Champions Challenge yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting dari 12-17 Januari depan.

20160105-Klang United BC(blue)-Evert Sukamta-001

20160105-Klang United BC vs Ampang Jaya BC - Mix Doubles

- Advertisement -