wee.wern

Oleh Muhammad Aiman

Cabaran Malaysia bagi kategori lelaki di Kejohanan Skuash Terbuka Amerika Syarikat (US), Delaware digalas oleh hanya seorang pemain, Nafiizwan Adnan setelah pemain perseorangan nombor satu negara itu melangkah ke undian utama.

Pemain di ranking ke-33 dunia itu mara setelah memenangi dua aksi pusingan kelayakan, yang pertama bangkit dari ketinggalan dua set untuk menang 8-11, 9-11, 11-6, 11-5, 11-6 ke atas pemain England, Charles Sharpes.

Manakala yang kedua Nafiizwan menewaskan pemain Jerman, Raphael Kendra 12-10, 11-8, 11-6 untuk menempah pertemuan pusingan pertama menentang pemain nombor 11 dunia, Miguel Rodriguez dari Colombia.

“Ia pasti satu perlawanan yang sukar kerana saya tewas kepadanya di pusingan pertama Terbuka El Gouna di Mesir pada April lalu,” menurut Nafiizwan yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka US tahun lalu setelah tewas kepada pemain Mesir, Ramy Ashour.

Sementara itu dua lagi pemain negara Ivan Yuen dan Low Wee Wern kedua-duanya gagal meneruskan kemaraan ke undian utama – Ivan tewas kepada Henrik Mustonen dari Finland 11-2, 7-11, 11-9, 8-11, 8-11 manakala Wee Wern tewas kepada pemain Mesir Salma Hani Ibrahim 5-11, 9-11, 11-3, 11-5.

Kekalahan mereka bermakna tinggal hanya tiga wakil negara meneruskan cabaran di kejohanan edisi ke-29 itu termasuk dua lagi pemain wanita negara, Dato’ Nicol David dan Delia Arnold.

Nicol pemain nombor tiga dunia yang juga juara tiga kali pada 2012, 2013 dan 2014 akan memulakan misi merampas semula gelaran yang jatuh ke tangan Laura Massaro tahun lalu dengan berdepan pemain Denmark Line Hansen manakala Delia pula akan menentang pemain Perancis, Camille Serme.

- Advertisement -