Oleh Muhammad Aiman

Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David layak ke aksi final pertamanya selepas lebih setahun setelah menewaskan pemain England, Alison Waters dari England di peringkat separuh akhir Terbuka Ciudad de Floridablanca, di Colombia pada awal pagi Sabtu.

Kemenangan ini sekaligus membolehkan Nicol semakin hampir untuk menoktahkan kemarau kejuaraan panjang dan merangkul gelaran pertamanya sejak Disember 2015 apabila dia memenangi Terbuka Hong Kong.

Pada perlawanan menentang Alison, Nicol yang kini berada di kedudukan ketujuh dunia tewas set pertama 8-11, sebelum bangkit menyajikan aksi lebih bertenaga untuk menundukkan pemain berusia 32 tahun itu dengan memenangi tiga set berikutnya 11-9, 11-6, 11-2.

Menanti Nicol di perlawanan akhir adalah pemain bukan pilihan dari Amerika, Olivia Blatchford – pemain di ranking 27 dunia itu mara ke final setelah lawannya di separuh akhir, Amanda Sobhy menarik diri kerana kecederaan.

Amanda, pemain nombor enam dunia sebelum itu sedang mendahului selesa 11-1, 11-6, 10-5 dan perlukan hanya satu mata untuk mara ke final tetapi membuat keputusan ‘bijak’ untuk melepaskan perlawanan itu kepada rakan senegaranya.

Ia dilihat sebagai percaturan yang menguntungkan buat Blatchford kerana andai Amanda menamatkan perlawanan tersebut, dia mungkin tidak dapat beraksi di final kerana kecederaan dan akan menyaksikan Nicol bergelar juara tanpa turun beraksi.

Sekurang-kurangnya Amanda membantu Blatchford untuk perbaiki ranking.  

- Advertisement -