shahril-saabah
Shahril Saabah

Oleh Muhammad  Aiman

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen berkeyakinan tinggi pasukannya mempunyai kredibiliti diperlukan untuk menumbangkan juara dua kali Pakistan, dalam aksi pembuka tirai Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, malam ini.

Stephen berjanji akan membariskan skuad yang jauh lebih baik dari skuad yang menamatkan Liga Hoki Australia tempoh hari di tempat keenam, selain menurunkan rangkaian enam pemain pakar pukulan sudut penalti bagi merobek pertahanan Pakistan – juara 2012 dan 2013.

“Kedua-dua Malaysia dan Pakistan terlepas aksi Olimpik Rio dan masing-masing mahu memperbaiki kedudukan ranking dunia, jadi saya boleh jangkakan satu perlawanan sukar dari skuad juara bertahan itu. 

“Pilihan untuk mengambil pukulan sudut penalti adalah yang terbaik dan terkuat pernah kita ada, di mana selain Razie Rahim (gambar utama) yang merupakan pilihan utama, saya mempunyai lima lagi pilihan untuk dipertaruhkan. Mereka adalah sandaran kita untuk melangkah jauh di kejohanan ini, yang mana seperti diketahui kita sasarkan separuh akhir,” menurut Stephen.

Selain Razie, lima lagi pakar pukulan sudut penalti yang dimaksudkan adalah Shahril Saabah, Fitri Saari, Firhan Ashaari, Najmi Farizal Jazlan dan penyerang Terengganu yang baru kembali dalam skuad, Faizal Saari.

Mengenai ketiadaan beberapa pemain tonggak, jurulatih berusia 58 tahun itu berkata, “Sudah tentunya kita akan terasa ketiadaan Marhan Jalil, Izad Hakimi dan Baljit Singh tetapi sudah tentunya kita tidak boleh lari dari masalah kecederaan. Kita kehilangan dua pemain kerana kecederaan tetapi kita dapat semula khidmat Razie dan Nabil Fiqri.

“Nabil adalah seorang pemain yang cukup berpengalaman dalam mengemudi tengah dan kita juga telah membawa masuk semula Faizal. Jadi sudah tentunya saya boleh katakan kita mempunyai sebuah skuad yang boleh memberi tentangan sengit.”

Stephen bagaimanapun tetap mengingatkan pemainnya agar tidak memandang enteng cabaran Pakistan yang mempunyai rekod pertemuan lebih baik.

“Kali terakhir kita menentang mereka di Piala Sultan Azlan Shah, kita menang 1-0. Namun mereka mempunyai skuad berpengalaman dan sedang cuba menyerlahkan semula prestasi mereka. Sebagai juara bertahan sudah tentunya mereka datang dengan persiapan rapi.”

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menewaskan Pakistan dalam Trofi Juara-Juara Asia – mereka tewas 2-3 di edisi pertama pada 2011, kemudiannya seri 2-2 pada 2012 sebelum tewas 0-1 pada 2013 manakala pada 2014 dan 2015 kejohanan ini tidak diadakan. 

Bagi Pakistan, mereka terpaksa melupakan khidmat kapten pasukan Mohamed Irfan gara-gara masalah visa dan jurulatih pasukan, Junaid Khan berkata mereka sudah bersedia dengan pelan B agar misi memburu hatrik ACT menjadi kenyataan justeru menuntut pemainnya memberikan yang terbaik agar dapat memulakan kempen dengan nota kemenangan.

- Advertisement -