Pasukan-pasukan Liga Malaysia mengharapkan mereka bakal mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk turun berlatih dalam masa terdekat jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, 4 Februari ini.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berpandangan, berdasarkan pengalaman musim lalu, beliau melihat semua pasukan sudah matang serta mampu patuh 100 peratus Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh MKN.

Tambahnya, memandangkan tarikh terbaharu sepak mula Liga Malaysia telah dianjak kepada 5 Mac dari 26 Februari, sudah pasti beliau selaku ketua jurulatih mahu pasukannya dapat berlatih lebih awal agar pemainnya mampu mencapai kecergasan 100 peratus bagi beraksi di perlawanan kompetitif.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya amat mengharapkan kami semua pemain dapat berkumpul dan berlatih bersama-sama lebih awal agar pemain boleh bersedia pada perlawanan sulung, 5 Mac sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MFL.

“ Kami sempat berlatih bersama selama dua minggu sebelum arahan PKP dikeluarkan dan buat masa sekarang, pemain sedang cuba mengekalkan tahap yang sudah dibina melalui latihan persendirian di rumah.

“Jika semua pasukan dibenarkan berlatih, ia sudah tentu baik buat pemain untuk meneruskan tahap kecergasan yang telah dibina sebelum ini memandangkan liga kita akan bermula sebulan dari sekarang.

“Selain itu, saya juga berharap kami diberi ruang mengadakan perlawanan persahabatan dalam tempoh beberapa minggu sebelum liga bermula sebagai medan menguji kecergasan pemain serta memperbaiki taktikal kerana di sini sahajalah peluang buat kami melakukan penambahbaikan terhadap semua pemain sebelum liga bermula, ” katanya.

Hasrat yang sama turut diluahkan oleh ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, yang mengakui semua pihak bersedia mematuhi apa jua SOP yang akan diberikan asalkan setiap pasukan berpeluang menjalani latihan bersama.

Beliau sedia mematuhi SOP yang lebih ketat asalkan tiada larangan buat pasukan mengadakan latihan memandangkan kebanyakan pasukan memerlukan masa bagi membentuk keserasian sesama pemain.

“ Saya harapkan akan ada berita baik mengenai latihan buat tiap pasukan kerana kami amat memerlukannya ketika ini, malah sedia menerima apa jua SOP yang akan diberikan oleh pihak berkuasa.

“ Biarpun kami antara pasukan paling awal membuat latihan iaitu pada 14 Disember lalu, tempoh sebulan yang kami lalui belum cukup jika mahu melihat pasukan ini bersedia.

“Terengganu banyak mengambil pemain baharu musim ini, jadi sudah tentu latihan secara bersama amat penting bagi mereka boleh memahami corak permainan yang akan saya terapkan selain faktor kecergasan, ” katanya.

Pada minggu lalu, MFL telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac 2021 susulan PKP di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, juga berkata mereka telah bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.

- Advertisement -