Karim-Ibrahim

Oleh Muhammad Aiman

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan atlet olahraga negara yang pulang dengan pencapaian hebat selaku juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SYAC) 2016 yang berlangsung di Thailand.

Malaysia menamatkan cabaran selama dua hari di Bangkok itu dengan mengutip 13 pingat emas, 8 pingat perak dan 8 pingat gangsa, sekaligus memperbaiki pencapaian menduduki tangga kedua dengan mengutip 6 pingat emas, 13 perak dan 12 gangsa pada tahun lalu.

“KOM tidak pernah meragui kemampuan mereka, kerana kita percaya pada merekalah kita hantar mereka bertanding dan mereka pulang dengan kejayaan membanggakan.

“Sejak dari awal kita katakan kita ada keyakinan tinggi terhadap atlet ini, mereka buktikan Olahraga di Malaysia masih ada sinar dan saya percaya banyak lagi kejayaan yang akan menyusul dari mereka,” ujar Karim.  

Pada kejohanan edisi ke-11 itu, Malaysia yang menghantar seramai 33 atlet untuk mengambil bahagian dalam 17 acara, mengutip 4 pingat emas, 5 perak dan 5 gangsa pada hari pertama kejohanan selain menyaksikan atlet lempar cakera, Grace Wong melakar rekod baru kejohanan dengan lemparan sejauh 40.62m.

Kontinjen negara kemudiannya menambah 9 lagi pingat emas pada hari kedua, meninggalkan tuan rumah Thailand yang mengumpul 10 emas, 15 perak dan 15 gangsa di tangga kedua.

Manakala Vietnam berkesudahan di tangga ketiga dengan 6 emas, 11 perak dan 3 gangsa.

- Advertisement -