Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 bersetuju untuk membenarkan kemasukan 10 000 penonton ke dalam venue sepanjang penganjuran temasya itu berlangsung.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat secara atas talian yang dijalankan diantara pihak penganjur, Kerajaan Jepun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) termasuk Presiden, Thomas Bach, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan wakil daripada pihak berkuasa bandar metropolitan Tokyo beserta Gabenor Tokyo, Yuriko Koike.

Kelulusan itu bagaimanapun tertakluk kepada jumlah kes jangkitan baharu harian di negara itu sepanjang tempoh sebelum penganjuran temasya itu berlangsung secara rasmi pada 23 Julai.

Sebelum ini Jepun memutuskan untuk menganjurkan temasya Tokyo 2020 tanpa kehadiran penonton susulan pandemik Covid 19 yang sedang melanda negara itu sejak tahun lalu.

Malah, kerajaan Jepun masih bergelut untuk memerangi wabak itu dan sedang menjalani fasa vaksinasi namun ia masih belum menampakkan sebarang tanda pengurangan kes.

Malah negara Matahari Terbit itu telah mengisytiharkan darurat sejak April lalu sehingga 20 Jun manakala kelonggaran separa darurat akan dikenakan di Tokyo bermula 21 Jun.

Pakar perubatan mencadangkan penganjuran temasya itu dilangsungkan secara tertutup memandangkan majoriti penduduk negara itu masih bimbang dengan situasi semasa Covid 19.

Malah, jika sukan Olimpik diteruskan, ia berkemungkinan akan mencetuskan situasi penularan wabak Covid 19 dengan lebih cepat.

Susulan keputusan untuk membenarkan kehadiran penonto, penganjur Tokyo 2020 akan mengadakan undian kepada pemegang pemegang tiket untuk kemasukan ke 40 venue pertandingan.

Peraturan ketat dikenakan kepada penonton, antaranya pemakaian pelitup muka sepanjang masa, mengelakkan sebarang sorakan dan pengangkutan bagi pengerakan terus ke venue venue untuk mengurangkan pergerakan.

Setakat ini, penganjur juga mengesahkan tiada perubahan pada jadua pertandingan sepanjang tempoh Tokyo 2020. 

Polisi dan peraturan bagi pergerakan melibatkan penganjuran temasya Sukan Paralimpik pula akan diumumkan pada 16 Julai atau seminggu sebelum temasya Tokyo 202o berlangsung.

 

 

- Advertisement -