PELUMBA Burgos-BH, Alexander Molenaar mempamer usaha keras untuk memenangi Peringkat 8 dan terakhir PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 di bawah cuaca hujan renyai di Pekan Kuah, hari ini.

Pada peringkat terakhir itu, pelumba kelahiran Rotterdam, Belanda berusia 23 tahun itu berada di dalam kumpulan depan sejak awal dan mempertahankan kedudukan itu bersama pelumba Alpecin-Deceuninck, Jason Osbourne, sebelum menewaskan pelumba kelahiran Jerman itu ketika menghampiri garisan penamat.

Kedua-dua pelumba itu menamatkan kayuhan sejauh 115.9km dengan masa 2 jam 25 minit 37 saat. Pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastien Molano yang mengetuai kelompok besar pelumba di tempat ketiga, tiba 18 saat kemudian.

“Ini kemenangan menakjubkan. Saya berada dalam kumpulan depan dengan beberapa orang pelumba yang bagus termasuk pelumba Lotto (Thomas De Gent). Saya tetap bertenang walaupun semakin letih ketika bersama Jason. Memang sukar tetapi berjaya juga ketika pecutan terakhir.

“Ini adalah perlumbaan yang sukar, jadi kemenangan ini manis bagi saya kerana saya juga sedang mencari kontrak dengan pasukan lain selepas ini. Harap-harap kemenangan hari ini akan membantu,” katanya yang bersama Burgos sejak 2020.

Di akhir peringkat itu, pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa dinobatkan sebagai juara individu keseluruhan edisi ke-26 LTdL22 apabila terus mengekalkan kelabihan 23s di depan pencabar terdekatnya, John Hugh Carthy (EF Education-EasyPost) manakala pelumba Uno-X Cycling Team, Torstein Traeen yang berada 1:47s di belakang, menduduki tangga ketiga keseluruhan.

Sosa, 24, pemenang peringkat pendakian ke Genting Highlands pada hari ketiga dan menyarung jersi kuning sejak itu, mengumpul keseluruhan 25 jam 54 minit 0 saat, untuk memberikan kemenangan jersi kuning kelapan dalam kariernya dan kedua tahun ini selepas Vuelta Asturias Julio Alvarez Mendo pada Mei lalu.

“Hari ini lebih mendebarkan kerana sejak awal lagi perlumbaan amat laju dan sukar untuk mengejar pelumba di depan yang berkayuh dengan baik.

“Menang LTdL adalah amat penting bagi saya selepas menghadapi musim yang agak rumit ini. Saya perlu berehat dan pulih untuk menghadapi musim baru. Kemenangan di sini memberi suntikan moral dan saya gembira dapat menyambung tradisi cemerlang pemenang dari  Colombia,” katanya yang turut membantu Movistar muncul pasukan terbaik pada edisi kali ini, di depan EF-Education dan Uno-X.

Jersi hijau Raja Pecut dimenangi Erlend Blikra, pemenang Peringkat 6 di Alor Setar, yang mengumpul 49 mata, termasuk menambah 7 mata pada peringkat terakhir itu selepas menduduki tempat keempat.

Sementara itu, Terengganu Polygon turut berbangga apabila dua pelumbanya dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Asia menerusi pelumba Mongolia, Jambaljamts Sainbayar yang kekal 1 saat di depan pencabar terdekat dari Astana-Qazaqstan, Andrey Zeits.

Muhammad Nur Aiman Zariff juga terus mempertahankan jersi merah Raja Bukit yang dimenanginya pada LTdL 2020 walaupun sekadar berada di dalam kelompok besar pelumba.

“Syukur dapat memenangi jersi Raja Bukit ini sekali lagi. Ini amat bermakna kerana ia lebih sukar disebabkan ada banyak pelumba pasukan World Team kali ini.

“Tiada banyak tekanan ketika kali pertama menang dulu tetapi saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan pada kali ini serta banyak belajar apabila melihat strategi pasukan-pasukan handalan.

“Walaupun agak tertekan apabila peringkat 7 ke Gunung Raya dibatalkan, pasukan menasihatkan saya supaya tidak hilang fokus. Saya berkayuh tanpa tekanan dan mengawasi pencabar terdekat hari ini kerana tiada pencabar di kumpulan depan yang membuat pemecahan,” kata pelumba 24 tahun itu.

Seramai 103 pelumba yang dilepaskan di lokasi mula/tamat di Pekan Kuah bermula di bawah cuaca redup dan walaupun beberapa cubaan meloloskan diri dilakukan, peloton dapat meredakan keadaaan, hinggalah empat pelumba mengorak kayuhan lebih laju untuk membuat breakaway.

Hugo Toumire (Cofidis), Thomas De Gent (Lotto), Jason Osbourne (Alpecin) dan Anatolii Budiak (Terengganu Polygon Cycling Team) yang membuat pemecahan awal disertai dua Molenaar (Burgos-BH) dan Cameron Scott (ARA Sunshine Coast Cycling Team) kemudiannya membentuk kumpulan pendahulu yang mula menjarakkan diri sehingga berada 1:30s di depan peloton selepas memasuki jarak 20km.

Perbezaan itu terus melebar kepada 1:50s apabila kumpulan pendahulu itu melengkapkan jarak 30km dalam masa hanya 30 minit selepas bermula, atau purata kelajuran mencecah 51kmj, sambil peloton yang diterajui EF Education-EasyPost dan Movistar tetap tenang mengawal keadaan, terutama apabila hujan mula turun di pertengahan laluan.

Hanya selepas itu, peloton mula bergerak lebih laju dan mencantas kelebihan kumpulan pendahulu kepada 1:15s memasuki jarak 70km tetapi di dalam kumpulan pendahulu, tiga pelumba – Osbourne, Toumire dan Molenaar pula meloloskan diri di depan tiga pelumba lain, pada baki jarak 33km dan menguasai zon pendakian pertama dan kedua di Lebuhraya Langkawi sebelum Toumire tercicir pada pendakian ketiga.

Molenaar yang bersama Osbourne ketika pendakian terakhir nyata lebih  bijak memanfaatkan peluang itu dengan terlebih dulu memecut ke garisan penamat untuk memberikan kemenangan pertama buat Burgos pada LTdL22 ini.

- Advertisement -