Skuad Senior Lelaki Kebangsaan menamatkan kempen Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno selaku naib juara selepas akur tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada perlawanan akhir yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, sedikit keceriaan hadir dalam kem Malaysia apabila pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan selepas menjaringkan 13 gol keseluruhan.

Pada perlawanan hari ini, aksi suku pertama bermula degan kedua-dua pasukan dilihat mengatur serangan dan Malaysia mempunyai dua peluang untuk mendahului perlawanan namun serangan yang diatur untuk mencai gol sedikit tidak menjadi.

Gawang negara turut diuji dalam suku pertama apabila Korea Selatan dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan pukulan sudut penalti negara yang berjaya mematahkan percubaan tersebut.

Dalam suku kedua, Malaysia ketinggalan 0-1 terlebih dahulu pada minti ke-17 selepas Jung Manjae yang tidak dikawal di sebelah kanan pintu gol negara berjaya menolak bola hantaran rakan sepasukannya untuk gol pertama terhasil.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat Malaysian Tigers untuk bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-25 menerusi gerakan padang, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang berada di sebelah kiri pintu gol Korea Selatan memanfaatkan peluang yang terhidang untuk mengubah kedudukan menjadi 1-1.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia terus mengatur serangan untuk menekan Korea Selatan dan skuad negara dihidangkan dengan beberapa deretan peluang untuk menjaringkan gol namun penyudahan tidak beberapa menjadi.

Minit ke-52, menerusi satu serangan balas, Korea Selatan menjaringkan gol kedua mereka menerusi Hwang Taeil namun skuad negara terus menunjukkan kebangkitan untuk mengejar kembali kedudukan tersebut.

Tiga minit sebelum tamat perlawanan, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun diselamatkan oleh penjaga gol Korea Selatan dan berselang seminit kemudian, Malaysia sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol menerusi gerakan padang namun penyudahan Faizal Saari sedikit tersasar.

Kebangkitan yang cuba ingin ditunjukkan oleh Malaysian Tigers untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila perlawanan tamat dengan kemenangan 2-1 buat Korea Selatan.

- Advertisement -