Peluang masih kekal terbuka buat Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mencari slot ke pentas akhir TM Piala Malaysia 2021 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Isnin.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berkata, beliau sama sekali tidak memikirkan kelebihan besar kepada JDT biarpun mereka berjaya menjaringkan satu gol di laman lawan.

Jelasnya, mereka akan terus mengamalkan corak permainan menyerang apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim dan akan berusaha sedaya mungkin memberikan cabaran kepada JDT.

“ Secara keseluruhan, separuh masa pertama kita bermain dengan baik dan punyai dua ke tiga peluang untuk menjaringkan gol cuma di babak kedua, segalanya berubah apabila kita tidak dapat mengawal permainan.

“ Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah dan sememangnya kita tahu, bukan mudah untuk rampas penguasaan bola dari JDT tetapi kita dapat bertahan dengan baik.

“ Sekarang peluang masih terbuka dan kita perlu menjaringkan gol di sana kerana mereka ada gol di laman lawan namun dalam masa sama kita kena elakkan dibolosi.

“ Saya tidak rasa JDT akan main secara bertahan kerana mereka sememangnya dikenali sebagai pasukan yang menyerang dan kita juga kena tampil dengan rentak sama, ” katanya.

Dalam perlawanan semalam,Jordan Mintah meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit kelapan sebelum Bergson da Silva memadamkan kelebihan dimiliki tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-50.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui aksi berdepan Terengganu sememangnya satu perlawanan yang sukar tetapi berpuas hati dengan keputusan itu yang disifatkan positif kepada mereka.

Walaupun bermula sedikit perlahan, Mora memuji pemain-pemainnya yang melakukan kebangkitan sejurus gol penyamaan Mintah sebelum menyaksikan mereka bermain dengan cemerlang terutama di separuh masa kedua.

“ Terengganu memberikan tentangan yang kuat kepada kami dan mereka mempunyai ramai pemain yang bagus seperti Lee Tuck, dua pemain tengah (Dechi Marcel dan Habib Haroon) serta pemain yang pantas di bahagian sayap.

“ Kami tidak bermula bagus pada 10 ke 15 minit pertama apabila dibolosi tetapi pemain berjaya memperbaiki keadaan itu di separuh masa kedua apabila dikawal kami sepenuhnya.

“ Sepatutnya kami boleh jaringkan satu gol lagi namun satu gol dari sini sudah cukup baik untuk kami bawa pulang ke Johor Bahru dan saya rasa situasi ini beri sedikit kelebihan kepada kami.

“ Perancangan saya di separuh akhir kedua adalah sama seperti kami lakukan sebelum ini dengan berikan persembahan terbaik dan tidak bolos di laman sendiri serta perlu menjaringkan gol, itu perlu dilakukan jika mahu muncul juara, ” katanya.

- Advertisement -