Kontinjen Malaysia sah mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala Sudirman 2021 yang berlangsung di Vantaa, Finland selepas menundukkan Mesir 5-0.

Kemenangan 3-2 ke atas England dalam aksi pembukaan semalam jelas memberi kelegaan kepada barisan kejurulatihan Malaysia yang menurunkan barisan muda untuk menerajui cabaran menentang Mesir hari ini.

Bergu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menyumbang mata pertama negara selepas menundukkan gandingan Ahmed Salah – Nour Ahmed Youssri straight set 21-8, 21-7.

Giliran perseorangan muda yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong menyumbang mata kedua Malaysia selepas menang  straight set 21-8, 21-2 ke atas Mohamed Mostafa Kamel disusuli mata ketiga yang disumbang perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan selepas menundukkan Doha Hany 21-5, 21-7.

Man Wei Chong / Tee Kai Wun turut memastikan mata keempat untuk Malaysia selepas mudah menundukkan gandingan Mohamed Mostafa Kamel / Ahmed Salah 21-7, 21- 6 sebelum Teoh Mei Xing / Yap Ling menutup perlawanan terakhir menentang Mesir dengan kemenangan selepas menundukkan Nour Ahmed Youssri / Doha Hany juga straight set 21-4, 21-9 

Sementara itu, Jepun turut melakar kemenangan 100 peratus selepas dua perlawanan apabila mendahului England 3-0 ketika Malaysia telahpun menamatkan saingan ke atas Mesir.

Mata oleh Jepun disumbang Yuta Watanabe-Arisa Higashino (bergu campuran), Kento Momota (perseorangan lelaki) dan Akira Koga/Taichi Saito (bergu lelaki)

Malaysia dan Jepun akan berentap untuk penentuan juara / naib juara kumpulan D pada Jumaat.

 

 

 

 

 

- Advertisement -