NEGERI Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts sudah mampu meletakkan sebelah kaki di final PIala Vivian May Soars 2022 selepas melepasi cabaran separuh akhir pertama dengan kemenangan masing-masing ke atas National Development Team (NDT) dan Sabah.

Nuramirah Shakirah Zulkifli (minit ke-11, ke-59) dan Nur Afiqah Syahzani Azhar (ke-42, ke-52) masing-masing meledak dua gol untuk mengemudi Negeri Sembilan mencapai kemenangan selesa 5-0 ke atas NDT.

Penyerang kebangsaan Hanis Nadiah On juga memastikan nama dalam senarai penjaring selepas membolosi gawang lawan pada minit ke-23.

Biarpun menang besar, Negeri Sembilan tidak mahu mendabik dada dan tetap menganggap separuh akhir kedua nanti sebagai penting.

Penolong jurulatih Mohamad Nazrin Yahya berkata pemain sama akan diturunkan untuk separuh kedua nanti untuk memastikan mereka mengekalkan momentum kemenangan sekiranya sah ke final nanti.

“Permainan agak longgar hari ini tetapi kelseluruhannya kami puas hati. Kita tidak akan mengambil mudah saingan separuh kedua nanti kerana mahu mengekalkan momentum dan mentaliti kemenangan pemain,” kata Mohamad Nazrin, yang juga merupakan anak kepada jurulatih Sabah Allahyarham Yahya Atan yang meninggal dunia baru-baru ini.

Mohamad Nazrin, yang merupakan guru di Sekolah Sukan Negeri Sembilan, sudah tiga tahun berkecimpung dalam arena kejurulatihan dan kini dibawah bimbingan jurulatih K. Rajan, bertekad meneruskan legasi bapanya yang juga lagenda hoki negara.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir pertama, KPT-Uniten Thunderbolts juga mudah mencetak kemenangan 4-0 ke atas Sabah dengan Siti Nur Arfah menyumbang dua gol pada minit ke-22 dan ke-54 manakala Nurul Faezah Shafiqah Khalim dan Siti Zulaikha memastikan kedudukan selesa pada minit ke-2 dan ke-28.

Jurulatih Lailin Abu Hassan puas hati dengan prestasi anak didiknya dan berharap prestasi sama dapat dipamerkan pada separuh akhir kedua Jumaat ini.

Begitu pun, kecederaan beberapa pemain memaksa Lalilin untuk mencongak strategi baru terutama dalam persiapan menghadapi perlawanan akhir nanti.

“Saya harap pemain kekal bermain seperti hari ini dan kita akan cari pendekatan baru untuk pastikan kemenangan pada separuh akhir dan bersedia untuk final nanti,” kata beliau.

Separuh Akhir 2 (18 Mac)
Sabah mln KPT-Uniten Thunderbolts
NDT mln Negeri Sembilan

- Advertisement -