Penjaga gol, Muhammad Shafie Sahrom tidak akan mensia siakan peluang yang diberikan oleh Arulselvaraj selepas namanya berada dalam senarai 30 pemain yang akan meneruskan kem latihan pusat skuad hoki lelaki kebangsaan.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini turut menyatakan beliau sudah bersedia untuk menunjukkan prestasi 100 peratus pada fasa seterusnya.

Mengimbau kembali perjuangannya untuk menempatkan diri dalam arena hoki negara, Shafie menjelaskan beliau kekok seketika kerana sudah setahun ‘meninggalkan’ arena hoki susulan rutin harian.

Penjaga gawang pasukan PDRM di saingan kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 itu nyata tidak menyangka Arulselvaraj menyebut namanya untuk meneruskan kem latihan pusat.

“Syukur kerana terpilih dalam senarai terakhir dibentangkan jurulatih. Agak terkejut kerana ramai lagi pemain yang lebih baik daripada saya ketika pemilihan. Apapun, saya ambil peluang ini secara positif untuk perkembangkan lagi pengalaman kerana dalam (kem) pemilihan sebelum ini, pengalaman saya itu masih kurang termasuk latihan fizikal saya.

“Pada waktu pertama menyertai kem, rasa gugup kerana saya terlalu menghormati pemain senior sehingga saya ‘gigil’ untuk bermain pada perlawanan persahabatan pertama. Namun selepas itu, kami sudah menemui keserasian dengan cepat dan semakin hari, perasaan gugup itu berkurangan.

“Bagi saya, ini adalah satu cabaran yang perlu disahut. Saya memang bercita-cita untuk bermain dalam pasukan kebangsaan namun daripada sudut lain, saya perlu menguruskan masa dengan bijak untuk kerja dan latihan,” kata Shafie yang berpangkat konstabel itu.

Shafie adalah empat penjaga gol yang akan meneruskan latihan disamping Mohammad Hairi Abdul Rahman, Andrian Andy Albert dan Muhammad Hafizuddin Othman dan merupakan empat muka baharu yang berjaya menambat hari Arulselvaraj sepanjang fasa pertama kem latihan.

 

- Advertisement -