#Tewaskan AS Gaison FC 2-1 pada Perlawanan Akhir

Sekalipun baru julung kali menyertai Divisyen 1 Liga Premier Selangor, skuad bolasepak PLUS FC telah mula mengukir nama apabila muncul Juara Divisyen 1 Liga Premier Selangor (Selangor Premier League) setelah menjinakkan AS Gaison FC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong pada 9 April yang lalu.

Skuad kendalian bekas pemain KL PLUS, Mohd Faizal Ab Rahman tersebut memecah kebuntuan dengan jaringan pertama menerusi sepakan percuma Asnan Awal Hisyam pada minit ke-22 dan jaringan tersebut bertahan sehingga separuh masa pertama.

Sejurus separuh masa kedua bersambung, AS Gaison berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-49 dan permainan mula dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan terus mengasak mencari gol kemenangan.

Penantian gol kemenangan berakhir apabila pemain tengah PLUS FC, Nazrin Syamsul Bahri bijak menyempurnakan peluang pada minit-minit akhir perlawanan untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada PLUS FC, sekaligus gelaran Juara.

Pengurus PLUS FC, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata “Kejayaan ini adalah hasil kerja keras pasukan dan semua pemain selama 6 bulan. Saya percaya PLUS FC layak dinobatkan sebagai Juara atas usaha serta semangat juang yang tinggi semua pemain-pemain saya.

“Kami kini bersedia untuk bersaing di Liga Juara Selangor pada Julai akan datang.”
Sebanyak 16 pasukan dari seluruh Selangor menyertai Liga Premier Divisyen 1 Selangor musim ini. Kejayaan PLUS FC menjuarai liga tersebut membolehkannya layak ke peringkat playoff Liga Juara Selangor yang bakal bermula pada bulan Julai akan datang.

Tambah menarik, Nazrin Syamsul Bahri turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik manakala penjaga gawang PLUS FC, Muhammad Aiman Zulkepli dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik perlawanan akhir.

Piala Kejuaraan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

- Advertisement -