Enam puluh minit yang cukup mendebarkan berakhir dengan noktah kejayaan di bumi London selepas Malaysia mengesahkan slot ke Piala Dunia 2018 di India tahun depan.

Aksi peringkat suku akhir di Separuh Akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di London menjadi saksi dimana Stephen Van Huizen melakar sejarah untuk Malaysia apabila mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menundukkan India 3-2.

Misi Stephen Van Huizen adalah mencari kemenangan ke atas India andai mahu menempa tiket secara merit ke Piala Dunia 2018.

Taktikal pukulan sudut penalti terus menjadi senjata utama Malaysia dalam misi menjinakkan salah satu gergasi hoki di rantau Asia.

Malaysia mendahului di minit ke 19 menerusi pukulan sudut penalti yang dosempurnakan razie Rahim.

Giliran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil melebarkan kedudukan kepada 2-0 untuk The Speedy Tigers berselang seminit kemudian untuk terus memberi tekanan ke atas India.

Namun skuad kendalian Oltmans Roelant bangkit dengan dua gol pantas di suku perlawanan kedua menerusi Ramandeep Singh.

Minit ke 24 Ramandeep merapatkan jurang gol hasil pukulan sudut penalty sebelum beliau kembali merancakkan permainan sekaligus menaikkan semangat juang rakan sepasukan dua minit berselang apabila menjaringkan gol penyamaan juga menerusi pukulan sudut penalti.

Perlawanan tampak berlangsung dengan agak berhati hati oleh kedua dua pasukan meskipun beberapa peluang keemas terhidang, namun tiada jaringan dilakar sehingga tamat suku ketiga.

India lebih menguasai permainan di suku keempat dan menggunakan segenap ruang untuk mencari ruang terbuka di zon D Malaysia.

Menghampiri penghujung perlawanan, kubu pertahanan Malaysia semakin longlai hampir dimanfaatkan pemain pemain India.

Kerancakkan permainan kembali semula di minit ke 48 di suku keempat apabila gerakan pukulan sudut penalti disempurnakan Razie Rahim yang menggegar gawang India untuk kali kedua sekaligus kembali meletakkan Malaysia didepan 3-2.

Tiada jaringan tambahan dilakar menyaksikan bukan sahaja kejayaan Malaysia melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia, malah, mengesahkan slot secara merit ke saingan Piala Dunia 2018 tahun depan.

Kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia adalah pada 2014 di Belanda di mana skuad negara menamatkan saingan dikedudukan ke 12.

Diperingkat separuh akhir, Malaysia akan bertemu Argentina pada 24 Jun jam 2 petang waktu tempatan. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -