Resilient motorsports ethusiasts persevere despite tough economic climate.
Sambutan menggalakkan peserta persendirian di Serdang.

Malaysian Cub Prix Championship logoSaingan pembukaan musim ke-23 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, semalam menyaksikan kehadiran seramai 144 pelumba keseluruhan dalam kesemua kategori di grid perlumbaan.

Walaupun terdapat kebimbangan terhadap keadaan ekonomi ketika ini akan memberi kesan buruk kepada pasukan-pasukan kecil dan pelumba persendirian, namun kebimbangan ini diatasi dengan jumlah kehadiran peserta yang memberangsangkan.

“Kami tidak begitu bimbang dengan saingan kelas terbuka yang disertai oleh barisan pasukan-pasukan profesional. Sebaliknya kami bimbangkan penyertaan di dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am yang dikhususkan kepada pelumba persendirian dan tiada penaja,” jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Tambahnya, “Apa yang mengejutkan, perlumbaan yang disertai oleh pelumba separuh profesional atau amatur ini menerima penyertaan yang menggalakkan, di mana mereka datang dari seluruh negara. Seramai 36 pelumba berada di grid dalam kategori ini.”

“Kami harap momentum ini akan berterusan di pusingan lain sepanjang tahun ini. Perlumbaan pusingan kedua akan berlangsung di Batu kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini. Pulau Pinang seringkali mendapat penyertaan yang menggalakkan di kalangan pelumba persendirian kerana berada di tengah-tengah bagi pelumba di utara.”

Selain pertambahan jumlah peserta persendirian, terdapat pertambahan dikalangan pasukan profesional yang bertanding. Pasukan BHPetrol Dash Tabuan Racing tampil untuk pertama kali dalam kelas CP115 dengan Md Izzat Rafiq dan Siti Norafizah Mohamad dan Mohd Arash Firdaus Suhaini di dalam kelas Wira.

Di dalam kelas Wira terdapat pertambahan pasukan ARD Performance dan Hyperlube PJM Racing yang turut berada di grid perlumbaan buat pertama kali.

- Advertisement -