Bardiani CSF

Oleh Ku Mohd Lufti

Walaupun kerancakkan bagi perlumbaan jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi tidak semeriah seperti tahun tahun lalu susulan kekangan peruntukkan, 20 pasukan yang akan beraksi telahpun dimuktamadkan.

Malah, tarikh perlumbaan yang bertindih dengan perlumbaan lain sedikit sebanyak menjejaskan minat pasukan pasukan berstatus world tour untuk beraksi di Malaysia.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal, beliau tetap berpuashati dengan senarai pasukan yang bakal bersaing bermula 22 Februari hingga 1 Mac.

“Daripada semua permintaan diterima, kita boleh senaraikan pasukan dari Eropah sahaja, namun kita percaya ia menjadi tanggungjawab kita untuk memberi keutamaan kepada pelumba basikal Asia.

“Ia peluang yang hebat kepada mereka (pelumba Asia) dapat bersaing dengan pasukan-pasukan yang menyertai Tour de France dan Giro d’Italia,” kata Emir.

Dimension Data dari Afrika Selatan merupakan pasukan berstatus Jelajah Dunia (world tour) pastinya menjadi tumpuan untuk memburu podium serta jersi jersi yang dipertandingkan.

Tiga pasukan yang sudah sinonim dengan LTdL, Bardiani CSF, Androni Giocattoli, dan Nippo-Vini Fantini pastinya bakal memberi tentangan sengit selain kehadiran pendatang baru, Willier Triestina.

Turut mengesahkan kehadiran, pasukan Unitedhealthcare Professional Cycling dari Amerika Syarikat serta satu lagi pendatang baru, Manzana Postobon (gambar utama) dari Colombia.

“Ia bekas pasukan Nairo Quintana dan Esteban Chaves serta bekas penaja perintis berbasikal Colombia pada era 80-an. Kami gembira atas penyertaan mereka kerana Le Tour de Langkawi sentiasa mempunyai pengikut yang ramai di Colombia menerusi media sosial dan rangkaian televisyen, kata Emir.

Lapan peringkat perlumbaan dengan pendakian berstatus Hors di Cameron Highlands melibatkan jarak keseluruhan 1 225km.

Malaysia pula akan membariskan tiga wakil Terengganu Pro Asia Cycling, Sapura Cycling dan Pasukan Kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -