Mata memang tidak dipotong, tetapi denda tetap kena bayar RM9 juta dan tidak boleh ambil pemain baru. Itu harga perlu dibayar 10 pasukan yang sama ada gagal atau lewat melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Ini sekaligus menyaksikan kegembiraan Kelantan dan Kuala Lumpur yang terlepas hukuman pemotongan mata oleh FMLLP kerana gagal melengkapkan dokumen pendaftaran bersifat hanya sementara.

Dua pasukan itu, bersama-sama PKNS FC dan Selangor yang lewat melengkapkan dokumen dikenakan denda RM1.5 juta (satu pasukan).

Manakala enam pasukan Liga Premier iaitu Sarawak, Pulau Pinang, PDRM, Kuantan FA, MIFA dan UKM FC pula dikenakan denda RM500,000 satu pasukan menjadikan jumlah keseluruhan perlu dibayar adalah RM9 juta.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam namun dia menjelaskan setiap pasukan boleh merayu hukuman denda itu untuk dikurangkan dalam tempoh 14 hari.

Menurutnya, “Pasukan yang lewat hantar dokumen dikenakan hukuman penangguhan pemotongan mata (suspended-point) dan juga denda kewangan, manakala pasukan yang gagal hantar dokumen yang lengkap dikenakan hukuman penangguhan pemotongan mata, denda kewangan dan sekatan perpindahan pemain baru sehingga isu ini selesai.

“RM1.5 juta dikenakan kepada pasukan Liga Super, manakala Liga Premier RM500,000. Jika pasukan tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk jelaskan denda, bayaran boleh dibuat menerusi pemotongan geran tahunan.”

FMLLP pada bulan lalu mendedahkan bahawa Kelantan, Kuala Lumpur, Kuantan FA, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sementara Selangor, PKNS FC, MIFA dan UKM FC pula menghantar dokumen selepas taikh akhir pada 3 Februari lalu sekaligus membawa kepada kemungkinan kesemua mereka berdepan hukuman berat. 

Bagaimanapun, FMLLP pada Isnin lalu menerusi Pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan bahawa kesemua enam pasukan yang gagal lengkapkan pendaftaran diberi peluang kedua untuk berbuat demikian, namun butiran mengenai denda tidak didedahkan secara terperinci.

Sementara itu, mengenai pemotongan mata, Kevin berkata pasukan yang gagal hantar dokumen berdepan hukuman pemotongan enam mata, manakala pasukan lewat menghantar dokumen pula tiga mata dan ia hanya akan dilaksanakan jika terdapat pasukan yang masih gagal melengkapkan dokumen ataupun melanggar peraturan sehingga tarikh baru yang ditetapkan iaitu Disember 2018.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -